KUALA LUMPUR – Standard dan kecekapan sangat penting dalam industri penerbangan, dan Malaysia mungkin kehilangan antara RM6 bilion dan RM7 bilion dalam nilai ekonomi jika strukur dan standard keselamatan kekal pada tahap semasa.
Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Prof Sufian Jusoh menggesa kerajaan dan penggiat industri mengkaji isu ini dengan serius, yang berkemungkinan boleh menjurus kepada skor negara diturunkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Beliau berkata pengawal selia penerbangan negara, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dijadual melalui penialaian Standard dan Cadangan Amalan ICAO (SARP) dalam bidang operasi dan layak terbang tidak lama lagi, selepas dua kali tertangguh.
Program Audit Pemantauan Keselamatan Sejagat (USOAP) yang ditubuhkan untuk memastikan kepatuhan kepada SARP, akan menetapkan skor dalam setiap bidang selepas audit, kata Sufian.
"Beberapa perubahan berlaku di Malaysia seperti pembentukan CAAM. Perubahan ini bagaimanapun tidak berjalan dengan pantas. Malah papan tanda di ibu pejabat di Putrajaya, masih mengekalkan nama Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia. Dari segi audit, ini merupakan kegagalan," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Beliau juga berkata undang-undang penerbangan awam Malaysia juga sudah ketinggalan zaman dan strukturnya tidak mengikuti standard global semasa.
Sektor layak terbang kekurangan jurutera dan juruterbang berpengalaman untuk membantu syarikat penerbangan layak mendapat lesen dan kelulusan, menjalankan audit dan membuat pengawasan ke atas industri dan kakitangan," katanya.
Selain itu, ICAO telah menerbitkan SARP mengenai Pengurusan Keselamatan dalam Lampiran 19, yang menggariskan setiap negara anggota perlu mewujudkan Program Keselamatan Negara (SSP).
Malaysia, selaras dengan Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (CAR) 2016, menyatakan bahawa SSP berada di bawah jagaan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.
"SSP memerlukan Struktur Organisasi dan Manual Program Keselamatan Negara. Namun berdasarkan pandangan industri, kami masih belum nampak Struktur Organisasi SSP dan Manual Program Keselamatan Negara.
"Berdasarkan isu-isu ini, mampukah kita bertahan dalam audit ICAO USOAP akan datang, terutama mengenai operasi penerbangan dan layak terbang," kata Sufian.
Beliau berkata berdasarkan skor semasa, Malaysia mencatatkan purata skor global yang lebih tinggi dalam bidang perundangan, organisasi, pelesenan, operasi, layak terbang, penyiasatan kemalangan dan perkhidmatan navigasi udara, kecuali untuk lapangan terbang, yang berada antara lulus dan gagal.
Menurutunya jika markah merosot di bawah purata global, ICAO akan mengeluarkan laporan dengan kenyataan mengenai ‘ kebimbangan ketara dalam keselamatan’.
"Apabila laporan ini diterbitkan, seluruh komuniti penerbangan dunia akan mengetahuinya.
"Ada yang akan bertindak balas dengan memberi makluman kepada warganegara mereka untuk tidak terbang dengan syarikat penerbangan dari negara tertentu, membatalkan penerbangan, membatalkan penerbangan perkongsian kod dan mengenakan sekatan lain," katanya.
Selepas membaca laporan itu, dua lagi program audit keselamatan iaitu Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan senarai hitam syarikat penerbangan Kesatuan Eropah (EU), juga akan bertindak balas terhadap penilaian ini.
Kajian negatif, kata Sufian, berkemungkinan akan menyebabkan syarikat penerbangan tempatan dilarang terbang di ruang udara Eropah, dan dikategorikan sebagai negara yang tidak mematuhi untuk memasuki AS di bawah program Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) FAA.
Sufian berkata IKMAS sedang melakukan kajian mengenai impak skor diturunkan, dan laporan itu dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan akan datang. - Bernama