JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor melancarkan bidaan Siri JTR melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) bermula 21 Ogos ini.
Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman berkata, bidaan yang dibuka selama lima hari pada 12 tengah malam hingga 11.59 malam 25 Ogos itu merupakan pertama kali dilaksanakan di JPJ Johor.
"Harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minima yang telah ditetapkan selain kenaikan bidaan minimum pada kadar lima peratus.
"Bagi kategori nombor bernilai utama, harga minima adalah RM20,000. Nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300)," katanya pada sidang media di JPJ Johor di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Pelesenan Kenderaan, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.
Razali berkata, kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBid adalah menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan sahaja.
Katanya, pembida boleh membida seberapa banyak nombor diminati dengan bayaran fi perkhidmatan RM10 yang diwajibkan bagi setiap nombor dibida.
"Tiada sekatan untuk melakukan bidaan. Bagaimanapun setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan.
"Manakala bagi perniagaan atau syarikat adalah tidak melebihi lima nombor kenderaan sahaja," katanya.
Selain itu, katanya, JPJeBid menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat.
"Pembida boleh mengetahui kedudukan (ranking) secara 'realtime' dan tiada unsur-unsur campur tangan.
"Ia terbuka kepada warga Malaysia dan penduduk tempat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas serta perniagaan atau syarikat yang berdaftar," katanya.
Razali berkata, nombor pendaftaran yang berjaya dibida mesti didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan.
"Baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minima ditetapkan.
"Bagi nombor bernilai utama, harga bayaran tawaran adalah RM20,000 diikuti nombor menarik dua digit(RM3,000), nombor menarik tiga digit (RM2,500) dan nombor menarik empat digit (RM2,000), nombor popular (RM500) dan nombor semasa (RM300)," katanya.