KOTA BHARU - Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak perlu berlakon dan berdolak-dalik untuk mengaburi mata rakyat dalam menangani isu Lynas.
Pengerusi MCA Kelantan, Chua Hock Kuan berkata, kelmarin kumpulan anti Lynas berhimpun kerana kecewa dengan keputusan kerajaan melanjutkan lesen kilang Lynas.
Katanya, lebih menarik himpunan itu turut dihadiri oleh wakil rakyat kerajaan dari DAP seperti Ronnie Liu, Chow Yu Hui dan Chiong Yoke Kong, serta Sim Chon Siang dan Lee Chean Chung dari PKR.
"Lakonan apa ini sampai Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack sendiri tanpa segan silu turut serta membantah keputusan kerajaan.
"Tiada salurankah untuk wakil rakyat PH (Pakatan Harapan) memberi pandangan dalam parti atau kerajaan sehingga perlu tunjuk perasaan seperti peserta lain di luar? Anda sudah dipilih untuk mewakili suara rakyat jadi tidak perlu berlakon untuk mengaburi mata rakyat lagi," katanya melalui kenyataan di laman sosialnya semalam.
Beliau berkata, tidak perlu mencari alasan untuk menyedapkan hati dan menghalalkan fitnah serta tohmahan kepada kerajaan terdahulu sedangkan peluang telah diberi untuk mereka membuktikan pelaksanaan manifesto yang begitu enak didengar sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Hock Kuan berkata, sebelum jadi kerajaan, pemimpin PH termasuk yang telah menjadi menteri dan timbalan menteri menguar-uarkan mengenai bahaya Lynas dan menandatangani akujanji menutup Lynas jika mereka memerintah.
"Malangnya, selepas PRU14 operasi Lynas tetap akan diteruskan dan sudah boleh bina pusat pelupusan kekal di negara kita.
"Mana perginya hero-hero sebelum PRU14 yang lepas?Adakah kajian saintis Malaysia baharu lebih boleh dipercayai berbanding saintis Malaysia terdahulu?" soalnya.
Namun katanya, beliau merasa bangga dengan semangat berterusan peserta yang terus membantah walaupun kerajaan telah berubah.
"Peserta yang bukan latar belakang politik terus menuntut peletakan jawatan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack yang terkenal akan membakar kilang Lynas sekiranya kerajaan tidak bertindak sebelum ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan anti-Lynas kurang sambutan