Waytha Moorthy saman fitnah Lokman Adam

Iklan
Lokman (kiri) dan Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berhubung satu ucapan yang dibuat dalam satu perhimpunan pada 4 Januari lalu di ibu negara membabitkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Waytha Moorthy, 53, selalu plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Azri, Lee Swee Seng & Co pada 26 April lepas dengan menamakan Lokman Noor, 46, sebagai defendan.

Iklan
Iklan

Pihak media memperoleh salinan dokumen itu selepas prosiding pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Latifah Mohd Tahar hari ini.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Annou Xavier yang mewakili menteri terbabit dan peguam N Logendran bertindak bagi pihak Lokman Noor.

Iklan

Ketika ditemui pemberita, Annou memberitahu mahkamah menetapkan 1 November depan untuk pengurusan kes selanjutnya.

Sementara itu, berdasarkan penyataan tuntutan, Waytha Moorthy yang merupakan menteri yang bertanggungjawab dalam perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial mendakwa defendan berucap pada perhimpunan bantahan yang dihadiri kira-kira 100 peserta dan menyebabkan ucapannya dimuat naik di laman Facebooknya yang telah mendapat 55,000 paparan dan dikongsi sebanyak 1,658 setakat 18 April lepas.

Iklan

Waytha Moorthy yang juga seorang senator itu mendakwa, ucapan fitnah itu telah diterbitkan menerusi YouTube antaranya bertajuk"Beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib, dakwa Lokman".

Dakwa Waytha Moorthy, ucapan fitnah itu turut diterbitkan di dalam empat artikel di beberapa portal berita bertarikh 4 Januari dan 5 Januari lepas.

"Kenyataan fitnah itu antara lain bermaksud plaintif seorang menteri yang tidak jujur, cuba memanipulasi laporan perubatan berkaitan kematian Muhammad Adib, gagal melaksanakan tugas sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial selain menghasut rusuhan di Kuil Sri Mariamman di USJ Subang," menurut pernyataan tuntutan itu.

Menteri itu menegaskan, kenyataan fitnah itu adalah tidak benar dan menyebabkan reputasinya sebagai menteri dan senator Dewan Negara terjejas.

"Satu surat tuntutan telah dikeluarkan pada 11 Mac lepas bagi menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf, namun defendan gagal berbuat demikian,"dakwa plaintif.

Sehubungan itu plaintif antara lain menuntut ganti rugi am, teladan dan injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada menerbitkan semula ucapan fitnah berkenaan menerusi media cetak dan elektronik.

Dalam pada itu, Lokman Noor dalam penyata pembelaan difailkan pada 3 Julai lepas, menafikan ucapannya pada perhimpunan tersebut memfitnah menteri itu.

Sebaliknya Lokman mendakwa ucapan berkenaan merupakan satu komen berpatutan dan dibuat berdasarkan fakta dengan niat untuk kepentingan orang ramai.