Polis tahan individu ugut bunuh pemimpin DAP

Iklan

IPOH - Polis menahan seorang individu yang didakwa membuat ugutan bunuh terhadap Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, suspek berusia 35 itu ditahan semalam dan direman selama empat hari sehingga 23 Ogos.

Iklan
Iklan

Katanya, pihak polis turut merampas satu telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana telah membuat ugutan bunuh menggunakan aplikasi pesanan dalam kumpulan.

Iklan

"Siasatan ini telah dijalankan secara telus dan adil supaya tiada sebarang tindakan yang menyemarakkan kemarahan mana-mana pihak berikutan kejadian ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan polis yang dibuat seorang pegawai kepada Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee mengenai ugutan bunuh yang diterima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu melalui aplikasi WhatsApp.

Iklan

Sementara itu, Razarudin menasihatkan semua pihak terutama yang menjadi pentadbir kumpulan aplikasi pesanan supaya mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan berkaitan maklumat dikongsi.

"Garis panduan yang telah dikeluarkan berhubung dengan apa yang patut dan tidak patut dilakukan perlu dipatuhi.

"Ini penting agar ahli di dalam kumpulan tidak melakukan kesalahan jenayah ataupun sehingga menggugat keselamatan dan ketenteraman negara," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Exco Perak terima ugutan bunuh