Ke penjara gara-gara kuali tembaga

Iklan
Zainal dipenjara 10 bulan kerana melupuskan harta curi.

KUALA TERENGGANU - Sudahlah mencuri tiga kuali tembaga milik jirannya, seorang lelaki tergamak menjualnya dengan hanya RM200 bagi mendapatkan wang mudah.

Bagaimanapun, tindakannya itu membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana melupuskan harta curi.

Iklan
Iklan

Tertuduh, Zainal Ramli, 36, sebelum itu mengaku bersalah melupuskan tiga kuali tembaga yang bernilai RM200 di hadapan sebuah rumah di Kampung Seberang Tuan Chik Haji, Kuala Terengganu kira-kira jam 5 petang pada 14 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Iklan

Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan tertuduh dihukum penjara 10 bulan dari tarikh ditangkap pada 14 Ogos lalu.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din.

Iklan

Mengikut fakta kes, pengadu menyedari tiga kuali tembaga yang diletakkan di beranda dapur rumahnya tiada pada 9 Ogos lalu kira-kira jam 9 pagi dan mengesyaki dicuri jirannya.

Susulan itu suspek ditahan pada 14 Ogos kira-kira jam 10.30 malam oleh sekumpulan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sebuah rumah di Kampung Seberang Takir.

Hasil soal siasat membawa kepada rampasan ketiga-tiga kuali tembaga itu pada 16 Ogos kira-kira jam 10.30 malam di sebuah rumah di Kampung Seberang Tuan Chik Haji selepas suspek melupuskannya dengan cara menjual barang curian kepada individu lain dengan harga RM200.