BIASA dia yang menasihatkan orang, tapi kali ini dia pula yang dinasihatkan oleh individu yang pernah diislamkannya sebelum ini.
Itulah yang dikongsikan pendakwah dan penceramah motivasi tidak asing lagi, Ustaz Ebit Lew di laman Instagram (IG) miliknya.
Menurut Ebit, Aziz Lee yang masuk Islam pada 4 Ramadan tahun lepas menasihatkannya agar menjaga anak-anak juga isteri dengan baik dan meluangkan masa bersama mereka.
"Awak jaga anak baik-baik ya. Bawa kereta perlahan-lahan. Dulu saya salah, kerja kuat hantar anak sekolah pandai.
"Kurang beri masa dan kasih sayang. Bila sudah besar mereka tak ingat saya, walau kerja hebat. Bukan salah mereka. Salah saya juga. Saya gembira mereka ada kerja bagus. Saya rindu sayang anak saya. Dulu masa anak kecil isteri meninggal. Saya kuat cari duit sekolahkan anak-anak bagi pandai," tulis Ebit lagi.
Justeru itu kata Ebit, lelaki itu yang disapa dengan panggilan Uncle Aziz menasihatkannya supaya tidak mengulangi kesilapan sama.
Uncle Aziz turut melahirkan kesyukuran kerana dipertemukan dengan beliau seterusnya memeluk Islam.
"Sekarang hidup saya bahagia sebab Tuhan ada. Bila susah atau sedih saya minta pada ALLAH," kata Uncle Aziz.
Dengan usia yang telah menjangkau 75 tahun, menghidap parkinson dengan matanya sudah tidak nampak dan juga mengalami sakit tulang belakang, Uncle Aziz hanya berjalan kaki ke masjid setiap minggu.
Lebih terharu, ujar Ebit, Uncle Aziz selalu meluahkan rasa rindu padanya kerana menganggap dia seperti keluarga sendiri kerana sudah tidak punya sesiapa.