Isteri buntu, suami tak pulang ke rumah

Iklan
Mohd Azhari

KUALA SELANGOR - Seorang suri rumah buntu apabila suaminya tiba-tiba tidak pulang ke rumah selepas menghantar dua anak mereka ke sebuah hentian bas di Kuala Selangor, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, Mohd Azhari Hassan, 52, bersama isterinya, Umi Salmah Mat Mukri, 42, masing-masing menunggang motosikal ke stesen bas berkenaan.

Iklan
Iklan

Umi Salmah yang menetap di Kampung Tali Air 3 berkata, dia membawa seorang anak perempuan berusia 19 tahun, manakala anak lelaki mereka yang menghidap penyakit buah pinggang berusia 17 tahun pula membonceng motosikal tersebut.

"Kami dalam perjalanan menghantar kedua-dua anak ke stesen bas kerana salah seorang daripada mereka perlu jalani dialisis buah pinggang di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Iklan

Bagaimanapun katanya, sejurus menghantar kedua-dua anak mereka ke hentian bas itu, Mohd Azhari yang menunggang motosikal jenis Yamaha SRV memberitahu ingin singgah menunaikan solat Subuh di Majid Jamek Kuala Selangor.

"Saya tidak ikut suami ke masjid, sebaliknya terus bergerak pulang dan menunaikan solat di rumah," katanya.

Iklan

Umi Salmah yang juga ibu tujuh anak memberitahu, sehingga kini suaminya yang kali terakhir memakai baju kurta berwarna biru muda dan berkain pelekat tidak pulang ke rumah.

"Saya tak putus-putus berdoa agar suami selamat pulang ke pangkuan keluarga.

"Kami cuba mencarinya di beberapa tempat termasuk di masjid terbabit, tetapi sehingga kini suami masih tidak dijumpai.

"Malah, tiada sebarang perselisihan faham antara kami berdua," katanya.

Umi Salmah berkata, bimbang mengenai keselamatan Mohd Azhari yang menghidap masalah jantung, dia membuat laporan di Balai Polis Tanjong Karang pada jam 1 pagi tadi.

"Saya merayu agar mana-mana pihak yang ternampak suami saya agar menghubungi segera balai polis terdekat untuk tindakan lanjut," katanya.