IPOH - Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee menerima dua ugutan bunuh dalam masa tiga hari.
Terbaharu, ugutan bunuh 'saya akan panggang kamu' yang diterimanya semalam yang ditulis di ruangan komen di Instagram individu lain, tetapi menyebut nama akaunnya.
Menurutnya, biarpun bukan pertama kali menerima ugutan seperti itu, namun sebelum ini ugutan itu menggunakan akaun palsu.
"Saya akan buat laporan polis dalam masa terdekat mengenai ugutan di Instagram ini. Hanya ugutan melalui WhatsApp sahaja yang sudah dilaporkan kepada polis.
"Saya tak bimbang sangat tentang ugutan itu untuk diri saya kerana kawalan keselamatan di pejabat ketat. Sebenarnya saya lebih memikirkan keselamatan isteri dan keluarga," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.
Terdahulu, Howard mendedahkan menerima ugutan bunuh melalui satu tangkap layar perbualan daripada satu kumpulan WhatsApp yang diterima menerusi rakannya.
Menurutnya, ugutan melalui WhatsApp itu diterima pada 18 Ogos lalu sebelum laporan polis dibuat semalam.
Dalam pada itu, secara peribadi beliau memaafkan pelaku kerana menganggap mungkin individu tersebut tersalah sasaran.
Katanya, bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan dan bertindak.
ARTIKEL BERKAITAN: Exco Perak terima ugutan bunuh