KUALA LUMPUR - Kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad akan menerima bayaran pendahuluan gaji berjumlah RM2,000 selewat-lewatnya malam ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu memorandum pekeliling yang ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif bertarikh hari ini.
"Berdasarkan kemampuan kewangan semasa, syarikat telah membuat keputusan membayar pendahuluan gaji sebanyak maksimum RM2,000 seorang yang akan dikreditkan ke akaun kakitangan selewat-lewatnya malam ini.
"Semoga dengan bayaran pendahuluan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang sedang dihadapi,” katanya.
Semalam kira-kira 100 kakitangan Utusan Melayu Berhad berpiket di hadapan bangunan syarikat terletak di Jalan Chan Sow Lin bagi menuntut gaji tidak dibayar antara Jun hingga Ogos 2019.
Masalah kewangan yang dihadapi juga didakwa menyebabkan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berdepan risiko penutupan operasi sekiranya gagal menjual aset dalam tempoh beberapa minggu ini.
Susulan itu, satu sesi townhall bersama pengurusan tertinggi dan kakitangan diadakan hari ini bagi menjelaskan situasi semasa dan hala tuju syarikat.
ARTIKEL BERKAITAN: Utusan Melayu mungkin ditutup, tiada wang bayar gaji