KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang akan meningkatkan penguatkuasaan dalam usaha membanteras pelbagai kesalahan dan jenayah maritim di perairan negeri ini.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Muda Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, antara yang diberikan tumpuan ialah sindiket penyeludupan arak dan haiwan eksotik; pencerobohan nelayan asing yang mencuri lebih RM6 bilion hasil laut negara serta pencurian khazanah laut dari kapal kapal karam.
Menurutnya, kegiatan sindiket penyeludupan ini banyak didalangi nelayan asing warga Vietnam yang memberikan cabaran kepada APMM kerana mereka sangat agresif.
"Bagaimanapun, itu tidak menjadi halangan pihak APMM mematahkan aktiviti penyeludupan tersebut. Bahkan dengan keupayaan anggota dan kejayaan operasi sebelum ini meyakinkan kita dan akan terus menggiatkan usaha.
"Kita ada kekuatan anggota dan kapasiti bot yang berupaya menjangkau perairan sehingga melebihi 100 batu nautika di mana lokasi tersebut menjadi tumpuan sindiket beroperasi," katanya ketika lawatan rasmi di Cerok Paloh di sini hari ini.
Beliau berkata, APMM tidak akan memandang ringan keberanian sindiket penyeludup yang masih menceroboh perairan ini meskipun penguatkuasaan tegas telah dilaksanakan.
"Adakala mereka ini pencuri khazanah laut dari kapal karam contohnya, bertindak licik dengan menyamar sebagai nelayan dan mampu menyelam dalam tempoh lama tanpa memakai peralatan selam," katanya.
Menurutnya, bagi tujuan itu pihak Maritim Pahang berharap semua pihak terutama penduduk setempat dapat bekerjasama dalam menangani isu jenayah maritim serta penyeludupan ini kerana aduan nelayan awam membantu APMM menyelesaikan banyak kes dan laporan.
Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh melalui talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Maritim.