PUTRAJAYA - Malaysia akan menjadikan China sebagai ekosistem dinamik terhadap industri perbukuan bagi kedua-dua negara.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, sepanjang di Beijing, delegasi Malaysia bakal meneroka kerjasama untuk memperkenalkan karya-karya hebat Sasterawan Negara di tanah besar China.
"Usaha ini termasuk aspek penterjemahan dan pemasaran, perkara ini amat penting bagi memastikan karya-karya besar Malaysia dapat dihebahkan ke serata dunia.
"Malaysia sentiasa memandang China sebagai destinasi terbaik dari sudut ekonomi dan budaya," katanya dalam kenyataan.
Maszlee hari ini telah diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama di Beijing International Publishing Forum 2019.
Katanya, ia sebuah forum berskala besar yang menghimpunkan penerbit-penerbit buku dan majalah dari seluruh dunia yang hadir sempena Pesta Buku Antarabangsa Beijing 2019.
Dalam ucaptamanya, beliau menyentuh mengenai usaha-usaha yang digerakkan Malaysia untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat dan merancakkan pertumbuhan industri perbukuan negara.
Sehubungan itu katanya, peluang berkenaan akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meneroka kerjasama lebih luas terhadap industri perbukuan di kedua-dua negara.
Beliau turut menekankan kepentingan industri perbukuan bukan sekadar soal perniagaan semata-mata, namun ia turut menyentuh hal berkaitan silang budaya dan pengukuhan ilmu.