JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mohon rakyat di wilayah Papua dan Papua Barat supaya menghentikan ketegangan susulan rusuhan yang berlaku pada Isnin.
Jokowi menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Instagramnya turut meminta agar rakyat di kedua-dua wilayah tersebut saling bermaafan antara satu sama lain.
"Saudara-saudaraku di Papua dan Papua Barat, saya tahu ada (dalam kalangan kamu) yang tersinggung. Oleh sebab itu, sebagai saudara sebangsa dan setanah air, perkara paling baik adalah saling memaafkan.
"Emosi itu boleh, tetapi memaafkan itu lebih baik. Sabar itu juga lebih baik,” demikian menurut Jokowi, pada Isnin.
Tegasnya, kerajaan sentiasa berusaha untuk menjaga kehormatan dan kebajikan semua rakyat di kedua-dua wilayah tersebut.
"Dan yakinlah bahawa pemerintah akan terus menjaga kehormatan dan kesejahteraan saudara-saudaraku di Papua dan Papua Barat,” ujarnya.
Terdahulu, satu demonstrasi besar-besaran bertukar rusuhan apabila ribuan penunjuk perasaan bertindak membakar beberapa kemudahan awam serta menghalang lalu lintas.
Isu rasis dan penghinaan etnik akibat dakwaan rosakkan bendera, mencetuskan demonstrasi dan rusuhan di Papua, Indonesia.
Ribuan etnik Papua mengadakan demonstrasi di Kota Manokwari dan Jayapura di Papua sebagai memprotes layanan dan penghinaan terhadap pelajar etnik Papua di Surabaya, Jawa Timur pada Jumaat lepas.
Menurut media tempatan, demonstrasi itu pada mulanya berlangsung secara aman, sebelum beberapa pihak bertindak agresif dengan membakar pejabat Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Papua Barat dan premis- premis perniagaan dan kemudahan awam.
Demonstrasi ribuan warga Papua itu dipercayai berpunca daripada tindak balas mereka terhadap dakwaan berlakunya tindakan rasis dan penghinaan terhadap pelajar etnik Papua di Surabaya, Jawa Timur, pada 16 Ogos lepas.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu rasis, hina etnik dan rosakkan bendera cetus rusuhan di Papua