PANGKOR - Seramai 123 sukarelawan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) mengambil masa empat jam bagi memecah rekod kolaj gambar Jalur Gemilang terbesar berukuran 27.3 meter lebar dan 12.2 meter panjang menggunakan 21,000 keping gambar.
Kesemua sukarelawan wanita berusia 18 hingga 30 tahun itu berjaya memadam rekod lama yang dicipta sebelum ini oleh Media Prima Berhad dengan kolaborasi Boh Tea berukuran 22 meter lebar dan 10 meter panjang pada 2010.
Pegawai Penyelidik Malaysia Book Of Record (MBOR), Nurul Fatihah Mahmood berkata, pihaknya berpuas hati dengan hasil dilakukan sukarelawan YDKMM dan mereka telah memenuhi semua kriteria yang ditetapkan.
"Selepas melakukan kerja mengukur, kami dapati panjang kolaj gambar Jalur Gemilang ini 12.2 meter, manakala lebarnya 27.3 meter. Berpuluh ribu keping gambar disusun cantik di atasnya," katanya kepada media di Pantai Teluk Nipah di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Program Perkhemahan Belia Kebangsaan, Izzatul Athirah An-Nur Mohd Hizul Azri berkata, mereka mengambil masa tiga bulan untuk mengumpul gambar kenangan sukarelawan YKDMM.
"Gambar-gambar ini merupakan gambar yang dirakam bersama Jalur Gemilang ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan, masyarakat serta pendidikan dalam dan luar negara seperti Yaman, Afrika Tengah dan Jepun.
"Manakala Jalur Gemilang ini pula disiapkan dalam tempoh masa seminggu dengan kerjasama sukarelawan terlibat bagi memastikan kejayaan hari ini," katanya.
Tambahnya, projek tersebut turut membabitkan lima sukarelawan dari Indonesia dan tiga dari Mesir yang dilaksanakan sempena bulan kemerdekaan bagi menunjukkan semangat patriotik dalam kalangan belia.
"Kami juga menghadapi cabaran dalam menyiapkan projek ini seperti semua sukarelawan wanita bergotong-royong mengangkat bendera besar dan gambar juga diterbangkan angin laut ketika sedang disusun di atas Jalur Gemilang," katanya.