Rugi RM2.27 juta akibat Taufan Lekima

Iklan
Kerosakan padi di PPK Kuala Muda Selatan dilihat seolah-olah hamparan permaidani.

SUNGAI PETANI - Lebih 500 pesawah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Muda Selatan didakwa terjejas akibat Taufan Lekima membabitkan 898 hektar dengan anggaran kerugian RM2.27 juta.

Muhd Subuhi Saad, 64, yang berpengalaman lebih 50 tahun mengusahakan penanaman padi mendakwa, kejadian yang bermula 8 Ogos lalu disusuli angin ribut dan hujan lebat berlarutan, disifatkan kejadian terburuk pernah dialami.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebanyakan pesawah tidak dapat membendung perasaan sedih apabila mengenangkan padi yang tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk dituai iaitu tempoh matang antara 100 hingga 115 hari, musnah sekelip mata.

"Bermula 8 Ogos lalu lebih kurang 3 hingga 4 pagi, berlaku Taufan Lekima. Esok pagi kami pakat-pakat turun, tengok padi ada kesan kena taufan.

Iklan
Muhd Subuhi (kanan) dan Mazlan (dua kanan) ketika meninjau kerosakan padi di sekitar PPK Kuala Muda Selatan, kelmarin.

"Malam esok pula berlaku kejadian angin kencang sehingga banyak pokok tumbang, kali ini padi lagi teruk, rebah sujud menyembah bumi.

"Lepas itu hujan lebat berlarutan selama sejam menyebabkan air mula bertakung dalam petak sawah,"dakwanya.

Iklan

Muhd Subuhi yang juga Pengerusi PPK Kuala Muda Selatan mendakwa kerugian besar dialami 577 pesawah kali ini mencecah RM2.27 juta di kawasan PPK Kuala Muda Selatan.

"Kami risau apabila ada yang rosak dan tidak boleh dituai, jadi tiada hasil. Rata-rata petani bimbang sebab masing-masing dah rancang untuk buat perbelanjaan tanggungan keluarga, nak bayar hutang dan ada yang nak buat kenduri.

"Bila jadi macam ni, kami mengharapkan agensi berkaitan peka dengan situasi dihadapi pengusaha padi yang mulai khuatir akibat menanggung kerugian ribuan ringgit," dakwanya.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah padi tenggelam di kawasan tertentu, petani terpaksa mengupah pihak lain bagi tujuan mendalamkan saliran.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Datuk Mazlan Aliman yang meluangkan masa meninjau kerosakan yang dihadapi, kelmarin.

Menurut Mazlan, hasil pemantauan di Kedah dan Perlis selepas Taufan Lekima mendapati kawasan PPK Kuala Muda Selatan antara paling teruk terjejas.

"Bancian dan taksiran sedang giat dilakukan Jabatan Pertanian melalui kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang, PPK dan unit terlibat.

Muhd Subuhi (kiri) menunjukkan kerosakan padi kepada Mazlan akibat kejadian ribut.

"Saya merayu pada kerajaan agar bantuan dan ganti rugi dapat dihulurkan segera kerana difahamkan ada antara petani telah berhutang untuk keperluan diri dan keluarga.

"Ada hasil padi tak dapat diselamatkan, sebahagian lagi dah bercampur macam sampah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Kuala Muda, Nor Hafizah Abd Rahman berkata, siasatan sedang dijalankan berhubung kerosakan yang dialami.

Menurutnya, pemantauan mendapati sesetengah tempat hanya mengalami sedikit kerosakan, bukan keseluruhan petak sawah.

"Kita akui kejadian ini membabitkan kerugian besar, namun perkiraannya jika dalam petak masih ada hasil yang boleh dituai, kita kira padi rosak sahaja," katanya.

Tambahnya, berdasarkan laporan anggaran bagi keseluruhan daerah Kuala Muda, kerugian dilaporkan sebanyak RM1.7 juta melibatkan 631 petani dengan keluasan 948 hektar membabitkan PPK Kuala Muda Selatan, PPK Padang Serai, PPK Merbok dan PPK Sungai Petani.

"Bagi yang dakwa rosak itu, kita akan siasat. Hanya yang musnah sahaja akan dilaporkan.

"Bagaimanapun, kita masih tunggu laporan melalui bancian yang sedang dikumpul bagi mendapatkan jumlah kerosakan sebenar," katanya.