Jangan biar sinar mutiara timur pudar

Iklan

BAGI kebanyakan rakyat Tanah Besar China, Hong Kong sinonim dengan keterbukaan dan kemakmuran. Bandar raya itu dikenali dengan nama popularnya mutiara timur kerana bagaikan sebiji mutiara bersinar di timur muara Sungai Zhujiang.

Tidak lama selepas pembukaan jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macau, saya telah melawat ke Hong Kong atas jemputan kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) itu.

Iklan
Iklan

Dalam lawatan tersebut, saya kagum melihat keterbukaan, toleransi dan keteraturan hab kewangan antarabangsa itu.

Kurang daripada setahun selepas lawatan saya, Hong Kong sekali lagi mendapat perhatian global dan menjadi berita hangat, susulan beberapa demonstrasi dan insiden kekerasan yang berlaku di situ. Sakitnya hati saya ketika melihat kilauan mutiara timur itu pudar.

Iklan

Beberapa bulan lalu, kerajaan SAR mendorong penyemakan Rang Undang-Undang (RUU) Pesalah Pelarian dan Bantuan Perundangan Bersama dalam Perkara Undang-Undang Jenayah demi memudahkan kerjasama kehakiman antara Hong Kong, Tanah Besar dan Taiwan China yang tidak terikat dengan perjanjian ekstradisi rasmi sekali gus mengatasi kekurangan dalam sistem undang-undang.

Namun, langkah yang munasabah itu sengaja diheboh-hebohkan oleh sesetengah pihak untuk agenda politik dengan diadakan demonstrasi berskala besar di bawah panji-panji yang menunjukkan Tiada Ekstradisi ke China.

Iklan

Walaupun pihak berkuasa Hong Kong memutuskan penangguhan pindaan RUU berkenaan pada Jun lepas, tetapi demonstrasi yang berterusan telah bertukar ganas. Itu mendedahkan niat sebenar mereka untuk mengganggu kestabilan Hong Kong dan mengejar apa yang dipanggil sebagai kemerdekaan Hong Kong.

Perusuh-perusuh menyerbu Kompleks Majlis Perundangan, menyerang anggota polis serta orang awam, mengepung Pejabat Perhubungan Kerajaan Pusat China di Hong Kong, mencemari lambang negara China, menghasilkan dan menyimpan bahan letupan, menghalang operasi lapangan terbang bahkan membelasah dan memenjarakan dua orang penduduk dari Tanah Besar China secara haram.

Imej tercemar

Sebanyak 11 buah negara dan kawasan mengeluarkan amaran perjalanan terhadap pelawat yang ingin memasuki Hong Kong. Imej Hong Kong di persada antarabangsa terjejas. Baru-baru ini, terdapat hasutan yang mengapi-apikan orang ramai supaya mengeluarkan wang daripada bank.

Sebagai hab kewangan antarabangsa dan bandar pelancongan, kestabilan merupakan jaminan kepada persekitaran perniagaan yang baik di Hong Kong. Kerugian di pelbagai sektor akibat keadaan yang huru-hara pada akhirnya akan ditanggung oleh semua rakyat Hong Kong.

Perbuatan yang amat menyakitkan hati adalah reaksioner Hong Kong bersekongkol dengan pihak luar untuk mencetuskan provokasi dan kekacauan. Dengan pembiayaan dan sokongan daripada pihak luar,

Barisan Hak Asasi Manusia Sivil dan pemisah-pemisah lain memperdayakan golongan muda Hong Kong dengan janji palsu 'demokrasi dan kebebasan' supaya melakukan demonstrasi di jalan-jalan, malah mengumpan ekstremis dengan wang untuk melakukan tindakan keganasan.

Sejak kepulangan Hong Kong ke pangkuan tanah air pada 22 tahun lalu, dasar-dasar seperti 'Satu Negara Dua Sistem' dan 'warga Hong Kong mentadbir Hong Kong' dilaksanakan serta tahap autonomi yang tinggi terjamin dalam kerajaan SAR.

Kerajaan Pusat China dan pihak berkuasa Hong Kong sentiasa berusaha membina sistem demokrasi yang sesuai dengan keadaan sebenar di Hong Kong secara beransur-ansur dan teratur demi mewujudkan kemakmuran dan kestabilan Hong Kong buat jangka panjang.

Beijing telah beberapa kali mengulangi pendirian menyokong teguh kepimpinan Ketua Eksekutif, Carrie Lam mentadbir urus Hong Kong di sisi undang-undang, sokongan kuat terhadap pihak polis, mendukung langkah-langkah jabatan-jabatan kerajaan SAR dan badan kehakiman mengenakan hukuman terhadap penjenayah ganas mengikut undang-undang, serta menyanjung tinggi usaha tokoh-tokoh patriotik dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang di Hong Kong.

Kerajaan China tidak akan membenarkan sebarang campur tangan pihak luar dalam urusan Hong Kong, tidak akan mengizinkan mereka mengacau situasi Hong Kong, malah tidak akan membiarkan 'revolusi warna' berlaku di China.

Dengan adanya hubungan yang erat dalam politik, ekonomi, geografi dan budaya, ikatan Tanah Besar dan Hong Kong seperti isi dengan kuku yang tidak boleh dipisahkan. Kekuatan China adalah asas kesejahteraan dan kestabilan Hong Kong.

* Bai Tian ialah Duta Besar China ke Malaysia