AIR zamzam dan kota Makkah tak dapat dipisahkan.
Ketika musim haji ataupun waktu bulan umrah, air yang diiktiraf sebagai paling berkualiti di dunia itu menjadi buruan para jemaah.
Sehingga anda yang sanggup mengupah pemuda-pemuda untuk mengambil air zamzam dalam tong yang besar sebagai oleh-oleh kepada saudara mara dan rakan taulan di tanah air.
Biarpun kerajaan Arab Saudi sudah membekalkan secara percuma sebanyak tiga liter air zamzam untuk setiap jemaah ketika berangkat pulang di Terminal Haji Jeddah, namun masih ramai yang rasa tak cukup.
Kalau boleh mereka mahu bawa balik sampai satu lori tangki air zamzam untuk dijadikan minuman harian.
Sebab itulah terdapat kes di mana ada segelintir jemaah haji cuba ‘menyeludup’ air berkenaan dalam bagasi mereka.
Sama ada diisi dalam botol plastik atau kaca, mereka cuba menyorok sebanyak mungkin air zamzam dalam beg pakaian.
Tanpa mereka sedari sebenarnya tindakan itu boleh mengundang risiko kemalangan ataupun malapetaka lebih dahsyat kepada sistem penerbangan
Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat Arab Saudi, Putera Khalid Al-Faisal menjelaskan, air zamzam yang diisi dalam botol dan dimasukkan dalam bagasi jemaah berisiko pecah ketika dimuatkan dalam ruangan kargo pesawat.
Bagasi-bagasi itu akan dihempap dan berhimpit dan jika tekanan terlalu berat, botol-botol air zamzam itu akan pecah.
Katanya, bagasi jemaah yang tidak kalis air itu akan bocor dan menyebabkan air zamzam mengalir keluar dan membasahi ruang kargo pesawat.
Ruang kargo itu pula dipenuhi dengan pendawaian pesawat, apabila terkena air akan berlaku litar pintas dan seterusnya mengganggu sistem penerbangan.
Tidak mustahil nahas boleh berlaku.
Kalau mahu juga bawa banyak air zamzam ke negara sendiri, seeloknya gunalah perkhidmatan penghantaran kargo yang disediakan pihak berkaitan.
Jangan ambil mudah kerana musibahnya cukup dahsyat!