SHAH ALAM - Jangka hayat sesebuah lif lebih pendek sekiranya kemudahan berkenaan digunakan terlalu kerap misalnya di kawasan kediaman seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang umumnya mempunyai penghuni yang ramai.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir Omar Mat Piah berkata, pihak pemilik perlu melantik syarikat penyelenggara yang kompeten untuk membuat pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala.
"Lif terlalu kerap digunakan perlu dinaik taraf bagi mengelakkan sebarang risiko dan masalah kepada pengguna. Jangka hayat lif bergantung pada kekerapan ia digunakan. Oleh itu, program penyelenggaraan perlu dilaksanakan lebih kerap.
"Setiap lif perlu diselenggara oleh pihak syarikat penyelenggara kompeten yang dilantik oleh pemilik premis dan berdaftar dengan JKKP sebagai syarikat pemasang, penyelenggaraan dan pemeriksa lif,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Omar, reka bentuk lif di PPR dibuat mengikut standard yang turut digunapakai di peringkat antarabangsa.
"Selain itu standard tersebut juga meliputi aspek ujian. Selepas pemasangannya, ia dibuat ujian yang dihadiri oleh pegawai JKKP dan jika ujian itu berjaya Sijil Perakuan kelayakan mengguna (CF) dikeluarkan.
"Pemunya lif penumpang hendaklah membuat perjanjian penyelenggaraan dengan firma yang kompeten selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan memastikan kerja-kerja penyelenggaraan lif dilakukan secara berkala dan diperiksa sepenuhnya sekurang-kurangnya sekali setiap tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu direkodkan dalam satu borang mengikut undang-undang, borang itu juga perlu diserahkan kepada pemilik bangunan.
"Setiap 15 bulan, JKKP akan datang dan buat pemeriksaan audit untuk memastikan sistem dalam keadaan baik,” katanya.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar pada Oktober tahun lalu mendedahkan, sejumlah 52 kes kemalangan melibatkan lif dan 33 kes melibatkan eskalator dilaporkan kepada JKKP di antara 2012 sehingga September 2018.
Sebanyak enam kematian serta enam kes kecacatan kekal dan 58 kecederaan dilaporkan dalam tempoh tersebut.