APABILA hidangan sudah tersedia di depan mata, kita selalu melaziminya dengan membaca doa sebelum makan atau paling tidak pun membaca Basmallah.
Namun sesudah makan, berapa ramai daripada kita yang membaca doa selepasnya?
Jawapannya ada pada diri kita sendiri, tetapi kebanyakan kita seringkali lupa berbuat demikian hatta ucapan Alhamdulillah sekalipun.
Ya, barangkali perut sudah kenyang dan hati pun senang yang membuatkan kita terleka dengan nikmat rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT.
Sebagai hamba, kita sepatutnya wajib bersyukur dengan kurniaan itu agar ia sentiasa berpanjangan, malah dirahmati dan diberkati sepanjang waktu.
Bagaimana mahu bersyukur dengan nikmat makanan?
Mudah sahaja iaitu berdoalah saat kita mahu menjamah makanan tersebut.
Itulah yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita dan ia menjadi sunah yang perlu diikuti.
Rasulullah SAW bersabda:"Apabila seseorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama ALLAH (Bismillah...). Jika dia terlupa menyebut nama ALLAH pada awal (mula makan), maka sebutlah: Bismillahi awwalahu wa akhirahu (dengan nama ALLAH yang memulai dan yang mengakhiri)." (Riwayat Abu Dawud dan at-Tirmidzi)
Insya-ALLAH apabila kita membaca Basmallah sebelum makan, ia boleh mengelakkan penyakit kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan ALLAH iaitu apabila Bismillah dibacakan, kedua-duanya akan musnah daripada sumber makanan berkenaan.
Selepas makan, jangan lupa berdoa dengan doa iaitu:"Sebanyak-banyak pujian bagi ALLAH pujian yang elok lagi berkat, tiada yang lebih baik, tempat berserah yang paling baik, yang paling kaya daripada-Nya iaitu Tuhan kami."
Jika kita tahu bersyukur dengan berdoa sebelum menikmati rezeki yang diberikan, kenapa tidak berbuat demikian selepas kita selesai menikmatinya?
Apa kata mulai hari ini ayuh kita amalkan sunah Rasulullah SAW itu iaitu membaca doa sebelum dan selepas makan sebagai rutin harian.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)