Latihan intensif di luar, tambah muka baharu skuad B-18 negara

Iklan
Foto Bernama

SKUAD Bawah 18 Tahun (B-18) negara dijangka menjalani sesi latihan intensif di luar negara sebagai persediaan menghadapi pusingan Kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Kemboja, bulan hadapan.

Sumber memberitahu, negara Timur Tengah menjadi pilihan utama untuk dijadikan destinasi bagi mengumpulkan barisan pemain skuad kendalian ketua jurulatih sementara, Brad Maloney yang muncul naib juara Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18 2019 di Vietnam baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Perkara itu turut diakui pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, namun enggan mendedahkan nama destinasi tersebut selain memaklumkan beberapa muka baharu mungkin akan dipanggil untuk memperkuatkan pasukan dengan menyertai sesi latihan itu.

"Kami sedang dalam proses merancang untuk membawa kesemua pemain dan juga mungkin ada muka baharu yang akan diserap masuk ke dalam skuad ini. Sebelum ke Kemboja, kita akan menyediakan pasukan untuk dikumpulkan di satu destinasi yang akan diumumkan nanti.

Iklan

"Mengenai muka baharu itu setakat ini ada satu dua nama dan kita dalam proses terakhir untuk mengenal pasti pemain-pemain tersebut,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan G akan berentap bersama-sama Thailand, Brunei, Kepulauan Mariana Utara dan pasukan tuan rumah dalam usaha memburu slot automatik ke Kejuaraan B-19 AFC 2020 dengan menjuarai saingan kumpulan.

Iklan

Sementara itu, Kamarul Ariffin sedikit terkilan apabila barisan pemainnya dikategorikan mengikut sesetengah program pembangunan selain dianggap memiliki DNA bola sepak berbeza.

Beliau menegaskan tiada perbezaan antara pemain daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mahupun dari Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dengan pemain yang mencipta nama bersama pasukan negeri.

"Mereka adalah DNA bola sepak Malaysia. Kalau nak hanya sebut ini DNA AMD, itu DNA negeri saya rasa ia tidak elok. Sekiranya ada enam pemain AMD dalam kesebelasan utama, yang lagi lima itu tunggul kayu ke apa?

"Mereka semua adalah DNA bola sepak Malaysia. Titik noktah di situ,” tegas beliau.

Sebagai rekod, skuad B-18 negara yang berentap pada Kejohanan AFF B-18 2019 dibarisi 10 pemain daripada AMD sementara 13 pemain lagi datang dari pelbagai negeri dan kelab seperti Selangor, Terengganu, Kedah, Pahang, Perak, Sabah, Sarawak, PKNP FC dan Felda United.- Bernama