SEREMBAN - [VIDEO] Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad harus membuat pertimbangan terbaik daripada pelbagai sudut dalam isu membabitkan kontroversi pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik.
Merujuk kepada senario semasa, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Dr Mahathir harus mengimbangi kepentingan nasional, hak asasi Zakir dan pertimbangan politik pelbagai kaum di negara ini dalam membuat keputusan.
Tegas Mohamad, kekuatan sebenar Malaysia ialah kemajmukannya serta kehidupan harmoni pelbagai kaum dan agama yang menjadi karakter utama negara ini.
"Kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan, tetapi ia bukan mutlak, tiada siapa jua, walau seorang ulama besar mahupun negarawan, mempunyai kebebasan untuk memperlekehkan status, kedudukan dan kewarganegaraan kaum tertentu di Malaysia.
"Kepada Zakir Naik, anda telah dilayan dengan terhormat di negara ini, dan seorang pendakwah yang terkemuka, maka adalah tanggungjawab anda untuk berlaku bijaksana serta menunjukkan teladan bahawa Islam itu adalah kebaikan untuk semua," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Dr Mahathir kini berada dalam dilema dan keputusan berhikmah sangat diharapkan daripada Perdana Menteri itu.
"Jika tidak mengusir, beliau akan dilihat sebagai penerimaan kata-kata Zakir Naik yang menyinggung perasaan, malah boleh dianggap tidak menghormati kaum-kaum tertentu di Malaysia.
"Namun begitu, jika dihantar pulang, nyawa dan hak asasi Zakir Naik pula akan terancam, maka kita mesti bertindak rasional," katanya.
Tambah Mohamad, meskipun tidak bersetuju dengan pendapat Zakir dalam isu tertentu, keadilan hanya akan dapat dicapai jika mendapat jaminan bahawa hak asasi beliau dihormati, sekiranya beliau diusir.
"Jika diyakini bahawa hak asasi itu dapat dikompromi, maka Malaysia bertanggungjawab untuk bertindak dengan bijaksana berdasarkan amalan terbaik perundangan antarabangsa," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Zakir Naik mohon maaf, tak mahu salah faham berlanjutan
Zakir semalam membuat permohonan maaf terhadap mana-mana pihak yang tersinggung dengan ucapannya yang didakwa disalah tafsir pihak-pihak tertentu baru-baru ini.
Menurutnya, situasi yang berlaku itu berlaku tanpa niatnya dan permohonan maaf dibuat bagi mengelakkan salah faham berlanjutan.
"Walaupun saya telah membuat penjelasan, namun saya ingin memohon maaf kepada mereka yang tersinggung atas salah faham yang berlaku ini.
"Saya tidak mahu ada pihak yang tersinggung dengan saya dan bukanlah niat saya untuk menyentuh mana-mana individu atau masyarakat kerana ia adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Islam," katanya dalam satu kenyataan.