Workout jadikan Amy kekal sihat dan cantik

Iklan
Pengurus sebuah bank terkenal ini amat menitikberatkan soal kesihatan dan kecantikan.
JIKA ditanya pada mana-mana wanita, pasti semua mahukan badan yang kurus dan cantik. Pun begitu, mereka lebih memilih untuk mengejar impian itu melalui jalan yang singkat iaitu dengan mengambil ubat kurus.

Mereka sanggup mengkomsum ubat tersebut asalkan apa yang diharapkan menjadi kenyataan sehingga mereka lupa bahawa tindakan itu hanya akan mengundang padah buat mereka di kemudian hari.

Ubat kurus bukan hanya memberi kesan sampingan untuk jangka masa panjang bahkan 'nikmat kurus' yang bakal dinikmati hanya sekejap cuma. Apabila mereka menghentikan pengambilan, postur badan akan kembali kepada asal.

Iklan
Iklan

Berbeza dengan Amyazlina Nordin, 37, atau mesra disapa Amy yang menolak sekeras-kerasnya pengambilan ubat berkenaan oleh segelintir wanita yang 'kemaruk' mahu kurus. Beliau berpendapat cara itu salah dan langsung tidak membantu wanita untuk mendapatkan badan yang sihat dalam jangka masa panjang.

Pengurus sebuah bank terkenal itu lebih memilih untuk melakukan latihan 'workout' di pusat gim bagi mendapatkan bentuk badan yang diidamkan. Ya, untuk kurus dan sihat perlulah melalui senaman.

Iklan

Baginya 'biar lambat asal selamat', kesihatan juga tidak terjejas. Ketika ditemui Femina baru-baru ini, ibu tunggal kepada dua zuriat itu mahu membuktikan kepada wanita lain bahawa latihan workout adalah cara yang terbaik untuk mendapatkan badan yang kurus dan sihat.

Amy menjadikan workout sebagai terapi untuk menghilangkan tekanan di tempat kerjanya.


"Saya terkilan dengan sikap segelintir wanita di luar sana yang dilihat terlalu kemaruk hendak kurus hingga mengenepikan soal keselamatan dan kesihatan.

Iklan

"Untuk kurus, kena selalu buat workout dan menjaga pemakanan harian. Namun, saya lihat ramai yang tidak sabar dan mahukan kesan yang pantas, sepantas kilat," katanya penuh bersemangat.

Ikuti Intipati Wawancara ekslusif Femina bersama wanita yang mempunyai cita-cita yang tinggi dan penuh iltizam itu.

1) Apakah yang mendorong puan untuk melakukan latihan workout di pusat gim?

Tatkala mengenakan pakaian tertentu, wanita selalu mengeluh saat berhadapan masalah pakaian 'ketat' dan 'tidak muat'. Saya tidak mahu masalah sedemikian menyelubungi hidup saya. Katakan tidak kepada lemak atau benjolan pada bahagian badan yang sangat mengganggu kita untuk bergaya.

Saya mahu bila pakai baju, ia terletak dan nampak kemas. Sebenarnya bila kita melakukan latihan workout, badan susah nak dapat sakit. Pada masa sama, dengan melakukan latihan itu, segala beban atau tekanan kerja dapat dilepaskan.

Saya sengaja angkat peralatan yang berat di gim sebagai satu refleksi. Apabila mengalami tekanan yang melampau, kita akan berhadapan dengan kesukaran untuk tidur. Namun melalui workout, badan saya jadi cepat letih sekaligus memudahkan saya untuk rehat dan tidur.

Jika tekanan tidak ditangani dengan baik, otak kita sentiasa dalam keadaan berfikir dan menyukarkan proses untuk tidur. Jadi, bila tertekan, saya akan jadi lebih rajin untuk melakukan workout.

29Planet Fitness Gym di Taman Maju Jaya, Cheras, Kuala Lumpur menjadi pilihan Amy setiap minggu.


2) Apakah kepuasan yang puan dapat melalui latihan workout di pusat gim?

Sebenarnya bila workout, saya dapat satu kepuasan yang sukar untuk digambarkan. Saya akui setiap wanita mahukan bentuk badan yang cantik. Bagaimana caranya? Mudah sahaja mereka perlu jaga pemakanan dan lakukan workout secara konsisten.

Sebelum memulakan latihan, saya akan tumpukan bahagian badan yang hendak dikecilkan, contohnya, bahagian perut atau paha. Selain mendapatkan bentuk badan yang diidamkan, saya juga mahu menjaga kesihatan.

Ingat, bila berpeluh badan kita akan jadi lebih sihat. Tambahan lagi, saya bekerja dalam industri perbankan yang berhadapan dengan pelbagai tekanan. Jadi, saya kena jaga kesihatan dalaman dan juga luaran. Ada wanita lepas berkahwin dan beranak enggan menjaga bentuk badan.

Itu tidak sepatutnya berlaku. Meskipun saya sudah beranak dua, namun saya kena mengekalkan dan mempertahankan berat badan agar saya nampak sihat dan sentiasa bertenaga. Sebelum berkahwin berat badan saya hanya 43 kilogram (kg).

Namun, selepas melahirkan zuriat, berat badan mencecah 58 kg. Meskipun ketinggian saya 160 sentimeter (cm), berat itu membuatkan badan saya rasa tidak selesa dan kurang cergas. Saya jadi cepat penat. Justeru itu, saya berusaha untuk menurunkan berat badan dengan cara yang paling berkesan. Berat yang ideal untuk saya antara 40 hingga 53 kg.

Amy sedang bertanyakan sesuatu kepada rakan yang turut menyertai latihan workout di gim berkenaan.

3) Sebagai seorang pengurus bank, puan berhadapan kesibukan dalam menguruskan masa antara diri sendiri dan juga kerjaya. Jadi, bagaimana puan membahagikan masa antara kerja dan juga latihan workout?

Sibuk macam mana sekalipun saya tetap akan pastikan dapat menjalani latihan workout tiga kali seminggu. Jika tak buat latihan tersebut, saya rasa sesuatu yang merugikan. Biasanya saya habis kerja pukul 8 malam, saya akan rehat sejam dan alas perut sebelum meneruskan latihan itu pukul 10 malam.

Selalunya, workout akan dilakukan pada hari bekerja. Ya, hari bekerja saya akan tumpukan sepenuhnya pada latihan berkenaan, manakala pada hari minggu pula, saya akan luangkan masa bersama anak-anak. Apa yang penting, kita kena rajin dan jangan bagi alasan malas atau letih untuk bersenam atau melakukan workout. Ia terletak pada diri kita sendiri.

Amy bertanyakan sesuatu berkenaan kelebihan peralatan yang digunakan.

4) Untuk melakukan latihan workout memerlukan semangat dan kerajinan yang tinggi. Bagaimana puan melawan aura negatif rasa malas untuk terus melakukan latihan berkenaan?

Dalam hidup rasa malas dan rajin itu sudah menjadi perkara normal. Tipu jika saya cakap, tak pernah ada rasa malas. Saya juga seperti wanita lain, yang gemar menikmati pelbagai makanan dan cepat penat dengan beban kerja dan sebagainya.

Bila saya tertekan, makanan dan tidur sentiasa menjadi keutamaan saya. Sebenarnya, cara itu tak betul dan badan kita akan bertambah tak sihat. Ya, bagi mengelakkan badan daripada terus sakit dan lemah, saya lakukan workout tiga kali seminggu.

Permulaan workout memang membuatkan badan kita rasa sakit. Namun, selepas seminggu workout keputusannya sangat positif apabila postur badan banyak yang berubah. Perkara itu yang membuatkan saya gembira dan tambah bersemangat untuk lakukan latihan itu.

Hati saya berbunga-bunga. Sudah menjadi kemestian sebelum memulakan workout, saya akan ukur lilit badan dan berat badan. Alhamdulillah, perubahannya amat besar sekali.

5) Terdapat segelintir wanita yang 'kemaruk' hendak kurus dengan cepat telah mengambil ubat kurus. Mereka sepatutnya melakukan cara yang tepat iaitu bersenam. Jadi, apa pandangan puan terhadap perkara itu?

Benar, sejak kebelakangan ini lambakan produk kurus di pasaran semakin menjadi-jadi. Malah ia berjaya mengaburi mata sebahagian wanita yang kemaruk hendak kurus dengan cepat. Bagi saya jalan singkat itu tidak bagus dan boleh memberi kesan sampingan untuk jangka masa panjang. Mungkin berhadapan masalah kesihatan yang melampau kelak. Saya memang tidak bersetuju dengan pengambilan produk tersebut. Selain kandungannya yang tidak diketahui, ia hanya mampu memberi pengalaman 'kurus' kepada wanita dalam tempoh yang tertentu. Bila mereka menghentikan pengambilannya, berat mereka kembali kepada berat asal.

Meskipun sibuk dalam dunia kerjaya, namun wanita berusia 37 tahun ini tetap meluangkan masa melakukan workout.

6) Wanita biasanya akan berhadapan dengan pelbagai kekangan untuk melakukan workout. Bagaimana puan melihat tahap kesedaran wanita yang melakukan latihan workout sejak kebelakangan ini?

Ya, sejak kebelakangan ini, golongan wanita sudah mempunyai kesedaran yang tinggi untuk bersenam dan mendapatkan tubuh badan yang sihat. Menariknya, wanita yang bertudung juga sudah ramai pergi ke pusat gim untuk melakukan workout. Saya nampak pemikiran mereka sudah terbuka berbanding sebelum ini. Mereka sebenarnya sudah boleh menerima tanggapan bahawa pusat gim bukan hanya untuk kaum lelaki semata-mata bahkan ia juga sesuai untuk wanita. Sebagai wanita, kita tak perlu malu dengan stigma persekitaran, sebaliknya berpegang kepada niat utama ke gim iaitu untuk menjaga kesihatan dan juga menguruskan badan. Jadi, tak perlu rasa malu atau segan. Apa yang penting, ia untuk diri kita sendiri dan kita perlu fokus dengan apa yang kita lakukan.

7) Kesibukan menguruskan sebuah bank amat membataskan masa puan untuk bersama keluarga. Jadi bagaimana puan membahagikan masa antara keluarga dan juga kerjaya?

Benar, kerjaya dalam dunia perbankan mempunyai masa yang terbatas. Kebanyakan masa saya dihabiskan di bank. Saya mula bertugas jam 8.45 pagi dan selesai jam 8 atau 9 malam. Kadang-kadang bila sampai di rumah, anak-anak dah tidur.

Saya akui kerjaya ini sangat mencabar dan menduga. Walaupun bergelar ibu tunggal selepas berpisah dengan suami tujuh tahun lalu, istilah 'sunyi' tidak pernah ada dalam diari hidup saya. Kesibukan dengan tugas harian langsung tidak memberi saya 'masa' untuk berfikir tentang sejarah lampau.

Bila hujung minggu dan ada masa terluang, saya akan peruntukkan sepenuh masa bersama anak-anak. Saya juga seperti keluarga lain akan pergi bercuti bersama anak-anak termasuk melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama mereka.

Pun begitu, dalam kesibukan saya tetap akan memberi tumpuan dan menyemak kerja sekolah mereka. Saya tak nak mereka ketinggalan dalam dunia pembelajaran. Meskipun tanpa bapa di sisi, saya mahu lihat mereka berjaya dengan hasil didikan dan acuan saya sendiri.

Amy sangat rapat dengan dua anaknya yang kini berusia 15 dan lapan tahun.


8) Apakah harapan puan kepada wanita lain yang masih 'takut-takut' untuk melakukan latihan workout?

Ramai wanita masih dibayangi stigma bila dah sakit baru nak mulakan senaman. Stigma itu tidak tepat. Ingat, aktiviti senaman atau workout tak boleh mula lambat. Jangan tunggu dapat penyakit baru nak workout atau senaman.

Sekarang ramai wanita yang terkena sakit jantung pada usia masih muda. Kenapa? sebab tak ada senaman. Ramai ingat bila badan kurus, mereka tak akan kena penyakit. Sebenarnya golongan yang kurus lebih terdedah kepada kolesterol tinggi.

Jadi saranan saya, buat persediaan awal untuk jaga badan dan juga kesihatan. Jangan tunggu sakit, baru nak workout atau berlari. Persepsi itu silap. Jadikan workout sebagai gaya hidup anda. Jangan sesekali amalkan pengambilan ubat kurus yang dijual di laman sosial, kita tak tahu kesan sampingan dan kandungannya.

Bagi saya, lebih baik kesannya lambat asalkan kita sihat dan selamat. Jaga badan sangat penting. Buat wanita yang sudah berumahtangga pula, suami mesti nak tengok anda dalam keadaan cantik sentiasa. Jadi sayangi badan anda dan jaga kesihatan demi kelangsungan hidup yang lebih baik.

ANEKDOT

Nama Penuh : Amy Azlina Nordin

Nama Panggilan : Amy

Umur : 37 tahun

Asal : Cheras, Kuala Lumpur

Bilangan adik Beradik : Anak kelima daripada enam orang

Status : Ibu tunggal

Bilangan anak : Dua orang, 15 tahun (lelaki) dan 8 tahun (perempuan)

Latar belakang pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Pejabat di UiTM

Pekerjaan : Pengurus sebuah Bank terkenal

Hobi : work out

Sejak bila : Usia 18 tahun

Purata work out : tiga kali seminggu

Masa work out : Jam 10 hingga 11 malam

Gym pilihan : 29Planet Fitness Gym di Taman Maju Jaya, Cheras, Kuala Lumpur

Tujuan work out : Jaga kesihatan dan bentuk badan