JAKARTA - Papua dilanda protes baharu hari ini selepas kira-kira 1,200 anggota keselamatan tambahan dikerahkan ke wilayah bergolak itu susulan rusuhan ganas kelmarin.
Kira-kira 1,000 penunjuk perasaan mengadakan bantahan di beberapa laluan di bandar Timika dan mereka turut membaling batu dan cuba merobohkan sekatan yang didirikan di sekeliling bangunan Parlimen.
Kumpulan protes itu bagaimanapun bersurai selepas polis antirusuhan mula melepaskan tembakan amaran ke udara.
Selain itu, satu lagi demonstrasi turut dilaporkan di bandar Fakfak di pinggir barat pulau itu yang membahagikan antara wilayah Papua Barat dan Papua New Guinea.
Jurucakap Polis Nasional, Muhammad Iqbal berkata, kesemua anggota keselamatan itu tidak membawa senjata dilengkapi peluru hidup dan situasi itu masih berada di bawah kawalan.
"Mengerahkan anggota tambahan adalah perkara biasa untuk mengawal situasi," ujarnya.
Kerajaan juga mengambil langkah memperlahankan perkhidmatan internet di beberapa bahagian di Papua untuk menghentikan penyebaran berita palsu yang dikhuatiri memburukkan lagi keadaan di wilayah tersebut.
Kelmarin, polis memaklumkan mereka turut memburu lebih 250 banduan yang lolos dari penjara di bandar Sorong.
Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dijangka melawat ke wilayah itu pada minggu depan. - AFP