PETALING JAYA - Seorang pengarah sebuah syarikat landskap ditahan selepas kereta dipandunya merempuh sebuah kedai makanan segera di Kota Damansara di sini sekitar jam 6 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek berusia 60 tahun yang memandu kereta jenis Mercedes Benz itu ditahan bagi membantu siasatan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu suspek terbabas lalu melanggar dua motosikal dan seorang pejalan kaki di lokasi terbabit sebelum merempuh hadapan restoran berkenaan.
"Pejalan kaki, Lee Guo Hoo yang berusia 72 tahun cedera di bahagian kepala dan kaki.
"Pelanggaran itu turut menyebabkan tembok dan peralatan kerusi meja di luar restoran berkenaan rosak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, hasil ujian alkohol ke atas suspek mendapati terdapat lebihan had pengambilan alkohol yang dibenarkan.
"Kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45A(1) akta sama,” katanya.