KUALA TERENGGANU - Buat julung kalinya, satu penerbangan tempahan terus dari Fuzhou, China ke Terengganu akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada 26 Ogos ini, pada jam 11 pagi.
Penerbangan yang membawa seramai 166 pelancong dan ahli perniagaan dari China itu cukup bermakna kerana merintis jalan untuk Terengganu menjadi destinasi utama pelancong dari tanah besar itu di Pantai Timur.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman berkata, penerbangan itu diuruskan oleh sebuah syarikat swasta iaitu VUB Holdings Sdn Bhd dan akan berada di Terengganu selama lima hari empat malam.
"Kerajaan negeri amat mengalu-alukan usaha syarikat berkenaan dalam membantu merealisasikan hasrat dan visi kerajaan negeri dalam menjadikan LTSM sebagai hab penerbangan terus dari luar negara terutamanya dari negara China.
"Ini merupakan pembuka jalan dan selepas ini, banyak lagi penerbangan tempahan yang kita rancang dari China Terengganu dalam merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.
"Ia juga selaras dengan penganjuran Visit Malaysia 2020 dan kempen Beautiful Terengganu yang sedang kita laksanakan,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara tempat pelancongan yang akan dilawati kumpulan pelancong dan ahli perniagaan berkenaan adalah Tasik Kenyir, Pulau Redang dan sekitar Kuala Terengganu serta dijangka pulang juga melalui penerbangan tempahan terus ke Fuzhou, China pada 30 Ogos depan.
Kerajaan negeri dan syarikat berkenaan juga mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi dialog usahawan bersama Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.
"Sepanjang tahun lalu, kita berjaya menarik 4.79 juta pelancon, dengan 20 peratus daripadanya adalah pelancong luar negara. Daripada jumlah itu, 60 hingga 70 peratus adalah dari China dan kebanyakan daripada mereka ke Pulau Lang Tengah dan Pulau Redang.
"Jadi, kita harapkan dengan adanya kerjasama antara kerajaan dan pemain-pemain industri ini, kita membuka ruang untuk mereka lebih mengenali tempat-tempat pelancongan yang lain juga seperti Tasik Kenyir dan sekitar Kuala Terengganu,” katanya.
Jelas Ariffin, syarikat VUB Holdings Sdn Bhd dan beberapa pemain industri lain juga dalam perancangan untuk membawa pelancong dari Jepun, Korea dan lebih ramai pelancong China ke Terengganu dalam fasa seterusnya.