Cerita mekanik jalanan

Iklan
RAHMAT tekun membaiki motosikal pelanggannya di Bandaraya Ipoh, baru baru ini. - fotoBERNAMA (2019)

KETIKA ramai orang dibuai mimpi, mekanik jalanan, Rahmat Azahari Sufian Tan sedang tekun membaiki motosikal pelanggannya di kaki lima kedai di Bandar Raya Ipoh walaupun hujan renyai dan waktu sudah menunjukkan pukul 3.30 pagi.

Rahmat Azahari, 42, yang sudah berpengalaman selama 20 tahun menjadi mekanik jalanan antara lain menyediakan perkhidmatan membaiki motosikal dan kereta seperti membaiki enjin, tayar pancit, palam pencucuh dan masalah mekanikal.

Iklan
Iklan

Beliau memilih untuk bekerja dalam bidang tersebut kerana ingin membantu orang yang dalam kesulitan terutama pada waktu malam di sekitar bandar raya Ipoh.

"Niat saya kerja malam, nak tolong orang, duit itu kemudian, yang penting kita tolong dulu," katanya kepada Bernama di Ipoh, Perak baru-bar ini.

Iklan

Rahmat Azahari yang masih bujang berkata, menjadi mekanik jalanan memberikan lebih kepuasan kepadanya kerana beliau dapat membantu orang secara terus.

Beliau juga tidak kisah berkerja di kaki lima, di tempat gelap, berhujan dan berpanas bagi mendapatkan rezeki yang halal.

Iklan

"Biasanya pelanggan menghubungi saya melalui telefon atau berjumpa di salah sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Idris Shah kerana saya biasanya berada di situ sementara menunggu pelanggan," katanya.

Beliau menggunakan motosikal ketika menjalankan kerjanya kerana lebih mudah bergerak terutama jika pelanggan itu berada di kawasan yang sukar dilalui kereta.

RAHMAT tekun membaiki motosikal pelanggannya di Bandaraya Ipoh, baru baru ini.- fotoBERNAMA (2019)

Cabaran

Ditanya apakah cabaran-cabaran yang direntas sejak menjadi mekanik jalanan, lelaki itu berkata, selain hujan dan panas ialah orang di persekitaran.

"Saya pernah hampir dirodok dengan botol kaca oleh orang kurang siuman ketika sedang membaiki motosikal pelanggan tetapi alhamdulillah, saya dapat menenangkan keadaan.

"Kena tipu itu biasa, janji nak bayar tetapi hilang terus namun kita bersangka baik mungkin dia dalam kesusahan jadi kena ingat niat saya bekerja ini untuk membantu orang," katanya dengan menambah kerjaya tersebut memerlukan kesabaran dan keberanian.

Rahmat Azahari bersyukur kerana dengan pendapatan yang diperolehnya itu, beliau dapat menjaga ibu dan adik perempuannya.

"Saya tidak mempunyai apa-apa sijil, tetapi demi tanggungjawab saya terus belajar mendalami kemahiran membaiki kereta dan motosikal untuk mendapatkan rezeki yang halal," katanya.