MELAKA - Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menggesa tindakan tegas juga harus diambil ke atas mana-mana individu yang menyentuh hal sensitif dalam negara dan bukan hanya terhadap Dr Zakir Naik sahaja.
Menurutnya, meskipun mengakui penceramah antarabangsa itu tidak wajar menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini, namun langkah sama perlu dikenakan terhadap beberapa individu lain yang berkaitan.
"Tindakan undang-undang yang tegas juga mesti dikuatkuasakan ke atas menteri yang menggelar Melayu sebagai pendatang.
"Begitu juga, Tan Sri yang menukar warna bendera Malaysia kepada jalur hitam, ahli perniagaan yang menghina anggota tentera dan wakil rakyat yang mengaitkan tulisan jawi dengan penerbitan buku pornografi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas Mohd Rafiq, tindakan undang-undang yang diambil harus secara lebih adil, menyeluruh dan tidak selektif atas isu-isu kontroversi yang melanda negara termasuk dalam isu Dr Zakir Naik.
Mengenai Zakir, Mohd Rafiq berkata, pendakwah dari India itu sudah menerima teguran daripada pelbagai pihak dan selepas itu dia membuat permohonan maaf secara terbuka.
Katanya Perkara 3 Perlembagaan Malaysia secara jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan.
Katanya, sebarang usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Islam oleh mana-mana pendakwah sepatutnya tidak menjadi pertikaian dan dibenarkan selagi ia menggunakan pendekatan berhemah dan tidak melanggar undang-undang negara.