PONTIAN - Stor simpanan bahan kimia di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pontian di sini terbakar sejak petang tadi dan operasi pemadaman masih dilakukan malam ini.
Kejadian kira-kira jam 4 petang itu melibatkan bangunan yang mempunyai kira-kira 5000 tan bahan kimia.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Iqbal Raduan berkata, kerja-kerja pemadaman tidak boleh dibuat dengan menggunakan air kerana bahan yang terbakar akan bertindak balas dengan air.
"Kilang tersebut tiada penghuni dan tidak beroperasi lagi namun di dalam bangunan terdapat lebih kurang 500 beg penyimpanan bahan kimia dan setiap satu daripadanya seberat 500kg.
"Keadaan masih lagi terkawal dan asap tidak merebak ke kawasan perumahan berdekatan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pengasingan bahan-bahan yang belum terbakar dilakukan terlebih dahulu.
"Bomba sedang memohon bantuan jengkaut dari Majlis Daerah Pontian serta memaklumkan hal ini kepada Jabatan Alam Sekitar negeri," katanya.