SUBANG - Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) menganjurkan Majlis Malam Penghargaan Media bagi menghargai peranan dimainkan oleh media dalam mempromosikan usaha untuk menarik pelaburan dan pembangunan di negeri ini.
Dalam majlis itu, Sinar Harian yang diwakili Ketua Pengarangnya, Datuk Baharom Mahusin turut menerima Trofi Anugerah Khas bagi kategori Rakan Media Invest Selangor bersama Sijil Penghargaan Ketua Biro Selangor.
Kedua-dua penyerahan itu disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pada majlis yang turut dihadiri Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Kim.
Menerusi ucapannya, Amirudin berkata, media cetak, elektronik dan digital banyak memberikan sumbangan serta impak positif dalam mempromosikan pembangunan ekonomi di negeri ini.
"Dalam menghadapi revolusi industri 4.0, media juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan pelbagai saluran media baharu.
"Peranan media amat penting dalam menyebarkan berita terkini bukan sahaja dalam negara namun di seluruh dunia," katanya ketika berucap di sebuah hotel di sini malam ini.
Menurutnya, pengamal media diharap dapat terus memberikan kerjasama dalam menyiarkan laporan yang positif, sahih dan seimbang kepada rakyat di negara ini.
"Media mempunyai peranan penting dalam memupuk perpaduan bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di negara ini.
"Kerajaan Selangor juga mengamalkan dasar terbuka untuk menerima sebarang cadangan dan kritikan daripada pihak media," katanya