Bomba Kedah abadikan nama Dewan Muhammad Adib

Iklan
Mohd Zahar Abdullah
ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berhasrat menamakan dewan baharu di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Jalan Suka Menanti, dengan nama Muhammad Adib.

Pemangku Pengarah JBPM Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah berkata, dewan baharu yang digunakan sejak sebulan lalu itu belum diberikan nama menyebabkan.

"Nama Muhammad Adib dicadangkan sebagai mengenang pengorbanan Allahyarham.

Perkara ini dicadangkan dalam mesyuarat pengurusan ketua-ketua bahagian dan ketua zon JBPM Kedah, semalam.

"Kebiasaan dewan serbaguna balai bomba diberikan nama, contohnya di Balai Bomba Jalan Tun Razak dinamakan Dewan Bakti. Sudah lama saya mahu namakan dewan itu, antara cadangan nama termasuk Jelapang, Keriang, serta tokoh yang berjasa,” katanya.

Mohd Zahar berkata, pada mesyuarat itu, semua pegawai bomba bersetuju sebulat suara apabila nama Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, diabadikan sebagai nama dewan berkenaan untuk penghormatan dan menghargai jasa Allahyarham yang terkorban ketika bertugas.

"Dengan cara ini, kita akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan Allahyarham Muhammad Adib. Malah hasrat itu sudah dikhabarkan kepada bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid yang menyambut baik cadangan itu dan beliau juga tiada halangan,” katanya.

Menurutnya, JBPM Kedah akan menghantar surat rasmi kepada keluarga Allahyarham berhubung perkara itu.

"Kita turut bercadang mengadakan majlis perasmian Dewan Muhammad Adib dengan menjemput pegawai tertinggi dan Ketua Pengarah JBPM serta keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

"Kemungkinan kita akan adakan majlis kesyukuran namun belum diputuskan tarikhnya, buat masa ini kita beri ruang kepada keluarga yang masih menerima kehadiran ramai tetamu,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba sentiasa menghulur bantuan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib dari aspek pengangkutan, kemudahan khemah untuk tetamu yang menziarahi keluarga itu serta menyantuni tetamu kenamaan.

"Terdapat 19 buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini membuat kutipan untuk Tabung Muhammad Adib, yang akan diserahkan Januari ini,” katanya.

Allahyarham Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang perusuh dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.