STOCKHOLM - Seorang lelaki dimasukkan ke hospital akibat digigit buaya yang pernah dimiliki pemimpin revolusi Cuba, Fidel Castro.
Mangsa berusia dalam lingkungan 70-an menghadiri parti udang krai di Akuarium Skansen di Stockholm ketika kejadian kelmarin.
Menurut polis, lelaki itu meletakkan tangan pada cermin keselamatan ketika sedang memberi ucapan apabila dia digigit secara tiba-tiba.
"Haiwan reptilia itu adalah salah satu daripada buaya Cuba yang ditempatkan di akuarium terbabit. Kedua-duanya, Castro dan Hillary adalah hadiah pemberian Castro kepada angkasawan Rusia, Vladimir Shatalov pada 1970-an," kata ketua pusat itu, Jonas Wahlstrom.
Beberapa hadirin terpaksa menggunakan napkin untuk menghentikan pendarahan sementara menunggu ambulans tiba.
"Kami akan menilai semula kepungan pada kurungan buaya tersebut untuk memastikan kejadian itu tidak lagi berulang. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku. Ia ditempatkan di pusat ini selama lebih 40 tahun," jelasnya lagi.
Menurut laporan akhbar, La Vanguardia, buaya itu diserahkan kepada Zoo Moscow selepas kedua-duanya menjadi besar dan berbahaya.
Ia kemudiannya diberikan kepada akuarium di Stockholm pada 1981 kerana mempunyai kemudahan jagaan lebih baik untuk haiwan tersebut. - Agensi