SEPANG - Beberapa penerbangan ditangguhkan selepas kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami gangguan sistem sementara.
Setakat 10.30 pagi tadi, terdapat 20 penerbangan yang dilaporkan ditangguh di terminal utama KLIA dan penerbangan terjejas termasuk ke Narita, Jepun; Perth, Sydney dan Melbourne, Australia; Jakarta, Indonesia; London dan Hong Kong.
Gangguan itu telah menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter-kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).
Operator lapangan terbang itu, Malaysia Airports dalam kenyataan berkata gangguan itu bermula malam tadi dan kini sedang diperbaiki.
"Semua kakitangan lapangan terbang yang berkaitan ditugaskan untuk membantu penumpang di lapangan kerana kami menjangkakan keadaan ini akan berterusan sepanjang hari ini,” kata kenyataan itu hari ini.
Situasi terkawal dan keadaan tidak sesak di terminal utama KLIA kira-kira 10.30 pagi tadi.
Duta Airport CARE turut berada di sekitar terminal untuk membantu penumpang.
Penumpang dilihat diberi bantuan dan panduan di kios daftar masuk sendiri.
"Sejak gangguan itu (berlaku), pasukan kami telah bekerja sepanjang masa, bukan hanya untuk memulihkan keadaan tetapi juga meminimumkan kesulitan yang dialami penumpang,” kata kenyataan itu.
Malaysia Airports juga menasihati para penumpang untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu berlepas penerbangan mereka dan memeriksa dengan syarikat penerbangan untuk jadual penerbangan terkini.- Bernama