Sampah haram: Arah syarikat konsesi ambil tindakan

Iklan
Chen Choon (empat dari kanan) dan Amran (tiga dari kanan) ketika melihat pameran draf rancangan kawasan khas pada Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Kawasan Perindustrian Majlis Bandaraya Johor Bahru di Hotel KSL hari ini.

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri akan mengarahkan syarikat konsesi bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap individu yang didapati terlibat dengan tapak pelupusan sampah haram di kawasan Banjaran 15, Kempas di sini.

Difahamkan, tapak pelupusan sampah yang terlibat dengan beberapa kejadian kebakaran terbuka itu telah menimbulkan kegusaran dan perasaan tidak selesa dalam kalangan penduduk setempat.

Iklan
Iklan

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, permasalahan itu kerap berulang kerana hukuman yang dikenakan hanya melibatkan pemilik tanah.

"Pihak terlibat telah diarahkan untuk menyelesaikan segera masalah pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram ini. Sebelum ini kita sudah kenal pasti pemilik dan tindakan juga telah diambil.

Iklan

"Selepas ini kita akan minta pihak konsesi pula ambil tindakan terhadap individu yang menguruskan tapak pelupusan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Kawasan Perindustrian Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Hotel KSL di sini hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Datuk Bandar MBJB, Datuk Amran A Rahman berkata, terdapat beberapa kejadian yang menyaksikan tuan tanah tidak mengetahui tanah mereka diusahakan untuk tujuan apa.

"Kita percaya kadang-kadang ada pemilik tanah tidak tahu tanah mereka digunakan untuk tujuan apa. Mereka hanya beri sewa, jadi pihak ketiga ini juga patut dikenakan tindakan.

"Maknanya, kita akan minta syarikat konsesi ambil tindakan terhadap pihak ketiga, manakala pejabat tanah pula ambil tindakan terhadap pemilik tanah," katanya.

Pada 12 Ogos lalu, tindakan penyitaan dan melucut hak tanah di kawasan berkenaan telah dikenakan terhadap pemilik-pemilik tanah terlibat kerana didapati berlaku pelanggaran syarat tanah di bawah kuasa Seksyen 129 Kanun Tanah Negara 1965.