Hal rombakan tidak dibangkitkan dalam Kabinet

Iklan
Menteri Kewangan Lim Guan Eng (kiri) bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin ketika sidang media selepas Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Dua menteri yang menghadiri mesyuarat Kabinet mengesahkan soal mengenai rombakan Kabinet tidak dibangkitkan pada mesyuarat itu semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet disentuh dalam mesyuarat mingguan itu.

Iklan
Iklan

"Tidak. Di peringkat ini tidak ada,” kata Zuraida.

Menurut Guan Eng, mesyuarat Kabinet dan pertemuan pemimpin komponen Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam hanya membincangkan soal berkaitan urusan kerajaan.

Iklan

"Perjumpaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dengan menteri kerajaan semalam adalah berkaitan urusan kerajaan, tidak ada kaitan dengan apa yang disebut (soalan wartawan),” katanya.

Zuraida dan Guan Eng ditemui media selepas menghadiri mesyuarat kumpulan Fokus Belanjawan 2020 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.

Iklan

Beberapa laporan berita hari ini melaporkan mengenai rombakan Kabinet yang dijangka berlaku pada bila-bila masa dan beberapa nama pemimpin disebut-sebut akan menerajui beberapa kementerian dan portfolio baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rombakan Kabinet dalam waktu terdekat?

Guan Eng turut ditanya jika terdapat sesi pertemuan antara Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed yang diura-urakan akan dimasukkan ke dalam barisan Kabinet baharu.

"Saya tidak tahu, tapi yang saya jumpa semalam dengan Perdana Menteri tidak ada sebut langsung mengenai apa yang disebut (pemberita mengenai Mustapa), bukan sahaja semalam tapi sebelum ini tidak pernah dibangkitkan,” katanya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menafikan bahawa parti DAP ada menghantar senarai ahli menteri Kabinet untuk dipilih Dr Mahathir.

"Tidak pernah sama sekali kerana Kabinet sudah ada, Kabinet yang ada kekal daripada pihak DAP, jadi senarai yang ada kekal seperti yang sudah ada dan pihak DAP dan saya tidak hantar apa-apa senarai nama,” katanya.

Menurutnya, perkara berkaitan rombakan Kabinet adalah di bawah kuasa Perdana Menteri.

"Tun (Dr Mahathir) menjawab perkara ini berkali-kali, saya rasa rujuklah apa yang disebut oleh beliau. Saya bukan Perdana Menteri,” katanya. - Bernama