PETALING JAYA - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) hari ini melancarkan pakej umrah ‘kasih sayang’ bagi memberi peluang kepada ahli koperasi menunaikan umrah di tanah suci menerusi skim potongan gaji.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pakej umrah di bawah Program Umrah Koop itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan syarikat pengendali umrah, EcoRITHS Leisure Travel and Tour Sdn Bhd.
"Pakej ini menerusi pinjaman koperasi. Kalau ahli nak potong gaji, ikutlah. Kami akan beri pinjaman kepada mereka.
"Sebab isu umrah terlalu banyak, kita nak pastikan ahli kita tidak tertipu. Mereka selamat dan selesa dengan tawaran 'kasih sayang' ini," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran program umrah koperasi bersama Angkasa di Auditorium Wisma Ungku A Aziz di sini hari ini.
Menurutnya, terpulang juga kepada peminjam untuk meminjam bagi menghantar ibu bapa atau ahli keluarga ke Makkah.
"Kita hendak beri kemudahan kepada ahli koperasi. Mungkin ada anak-anak yang berhasrat mahu menghantar mak ayah ke tanah suci.
"Itu menjadi hasrat kita juga," katanya.
Terdahulu, Abdul Fattah mewakili Angkasa menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pegawai Eksekutif EcoRITHS Leisure Travel and Tours Sdn Bhd, Azman Ibrahim.
Turut hadir, Timbalan Presiden Angkasa, Kamarudin Ismail serta Timbalan Pengarah Bahagian Penyeliaan dan Tadbir Urus Suruhanjaya Koperasi Malaysia mewakili Pengerusi Eksekutif SKM, Norhayati Nayan.
Sementara itu, Abdul Fattah berkata, Angkasa kini dalam rangka untuk mengukuhkan koperasi mereka di Arab Saudi.
"Kita sudah ada perbincangan dengan mereka di Maghribi baru-baru ini. Ia kini memasuki fasa keempat bagi memastikan koperasi kita dapat dijana dengan semaksimum mungkin," katanya.