JOHOR BAHRU - Guru bahasa Arab di Malaysia perlu menguasai kemahiran digital bagi menghasilkan proses pembelajaran lebih efektif dan tidak ketinggalan dalam arus pembelajaran moden untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.
Ketua Jabatan Bahasa dan Literasi, Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhammad Sabri Sahrir berkata kemahiran dan penggunaan teknologi dalam sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjayakan Pengajaran Abad ke-21 (PAK 21).
"Walaupun teknologi bukanlah fokus utama PAK 21, tetapi tidak dapat tidak ia perlu dikuasai oleh para guru secara asas pada tahap tertentu,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ceramah pada Bengkel Pedagogi Pengajaran Bahasa Arab Abad Ke-21 di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri di sini, hari ini.
Bengkel yang dianjurkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia itu berlangsung selama dua hari bermula semalam.
Objektif utama bengkel tersebut adalah bagi mengetengahkan amalan pengajaran bahasa Arab efektif abad ke-21 dan mempersiapkan guru-guru dengan kemahiran teknologi sesuai dengan peredaran zaman.
Seramai 57 peserta terdiri guru dalam bidang pendidikan bahasa Arab dari Malaysia, Singapura dan Indonesia menyertai bengkel itu.
Muhammad Sabri turut berkongsi pelbagai aplikasi sesuai yang digunakan dalam PdPC Bahasa Arab.
Katanya, aplikasi yang dikongsikan itu mampu dikuasai guru-guru dengan pantas kerana ia tidak memerlukan asas komputer yang tinggi serta boleh didapati secara percuma.
Aplikasi itu termasuk yang berbentuk ‘web-based’ (BlendSpace, Padlet, Google Classroom) dan ‘mobile-based’ (Kahoot, Quizzizz).
Sementara itu, Pengarah ISESCO Malaysia Dr Abdul Razif Zaini berkata walaupun teknologi tidak mampu menggantikan peranan guru dalam proses menuntut ilmu, perubahan dari segi pedagogi tetap perlu dilakukan seiring dengan perubahan zaman.
"Lihat dalam konteks pengangkutan, betapa teksi yang dulunya sangat relevan tetapi sekarang dipandang sepi dengan adanya Grab.
"Kita tidak mahu satu hari nanti orang bergantung sepenuhnya kepada teknologi dalam pembelajaran tanpa ada panduan daripada guru,” katanya. - Bernama