Kantoi curi khemah gerai nasi lemak

Iklan
Rakaman yang memaparkan tindakan seorang lelaki bermotosikal yang mencuri khemah gerai. Gambar kanan: Khemah gerai yang berjaya dirampas susulan tertangkapnya suspek.

KLANG - Polis memberkas seorang lelaki yang dipercayai mencuri khemah gerai di Persiaran Hamzah Alang, Meru, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, tangkapan dibuat di Taman Sentosa Kapar kira-kira jam 8 malam ketika suspek yang dilihat menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

"Soal siasat telah membawa penemuan barang kes yang disorokkan iaitu khemah berukuran 10x10.

"Semakan kita juga mendapati suspek yang berusia 24 tahun itu memiliki pelbagai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, suspek kini direman tiga hari sehingga Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Kelmarin, kira-kira jam 10.30 malam, pengadu yang menjalankan perniagaan nasi lemak sejak dua minggu lalu telah menerima pesanan video menerusi WhatsApp daripada rakannya.

Iklan

Video tersebut memaparkan seorang lelaki bermotosikal Modenas Kriss telah melarikan khemas bewarna biru milik pengadu yang diletakkan di tepi jalan.

"Pengadu kemudian telah membuat pemeriksaan dan mendapati khemah yang dicuri itu adalah miliknya sebelum membuat laporan polis," katanya.

Dalam kes berlainan, seorang lelaki berusia 30 tahun dicekup polis, semalam selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Intan Kapar, di sini.

Nurulhuda berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis telah merampas peralatan audio termasuk pembesar suara serta kabel.