JKNS rampas 2,205 produk makanan menerusi 'Ops Label'

Iklan
Khalid

SHAH ALAM - Sebanyak 2,205 produk makanan pelbagai jenis bernilai RM21,075.01 dirampas oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi 'Ops Label' yang dilaksanakan di 39 premis jualan sekitar negeri ini.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata selain itu, sebanyak 31 notis bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun keseluruhan berjumlah RM116,000.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, operasi yang dilaksanakan itu memberi penumpuan terhadap produk makanan yang dijual di premis warga asing, premis produk makanan kesihatan dan produk makanan import yang beroperasi di negeri ini.

"Selain itu, antara kesalahan lain yang dikenal pasti adalah ketiadaan maklumat berkaitan nama dan alamat pengilangan atau pengimport pada label produk makanan yang diimport.

Iklan

"Kebanyakan label pada produk yang diimport ini juga gagal untuk menyatakan nama sebutan sebenar makanan serta senarai bahan ramuan dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata selain produk import, terdapat juga kesalahan pelabelan yang dikenal pasti melibatkan barangan makanan yang dikilangkan di negara ini khususnya membabitkan pengesahan akuan kesihatan pada label makanan.

Iklan

Beliau berkata, antara akuan kesihatan yang ditemui menyalahi peruntukan Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 adalah membabitkan penyataan mengenai khasiat sesuatu makanan dalam perawatan atau penyembuhan penyakit tertentu.

"Di bawah peruntukan Peraturan 18(3), tiada label produk makanan boleh mengandungi perkataan 'berubat', 'tonik', 'kesihatan' atau apa-apa perkataan lain yang mempunyai makna yang sama," katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata JKNS sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh menyebabkan kekeliruan dalam penjualan produk makanan kepada pengguna.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan berterusan akan dilakukan selepas ini bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan di negara ini adalah terkawal.

"Pengguna boleh menghubungi terus JKN Selangor atau Pejabat Kesihatan daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/jknselangor jika terdapat aduan berkaitan dengan keselamatan makanan," katanya.