SUNGAI BESAR - Pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan berhubung penularan sebuah pasar raya di daerah ini yang menjual Jalur Gemilang bersaiz kecil terbalik.
Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya berkata, beliau tidak pasti sama ada tindakan menjual Jalur Gemilang terbalik itu disengajakan atau pun tidak disedari pasar raya terbabit.
"Saya ada dengar (penjualan Jalur Gemilang terbalik), tapi saya tak dapat satu kepastian yang jelas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Program Sungai Besar D'Champion Ujian Pencapaian Sekolah Rendah/Pentaksiran Tingkatan 3 dan Sijil Pelajaran Malaysia.
Muslimin berkata, beliau akan ke pasar raya itu hari ini bagi melihat sendiri dakwaan berkenaan.
"Kita mengharapkan perkara ini tidak berlaku kerana ia memberi natijah tidak baik kepada generasi muda terhadap kedaulatan serta rasa hormat pada bendera yang menjadi lambang sesebuah negara," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang bapa terkejut apabila Jalur Gemilang yang dibelinya di pasar raya itu didapati dalam keadaan terbalik selepas pulang ke rumah.
Mohd Fauze berkata, dia membeli Jalur Gemilang berharga RM0.60 di pasar raya itu kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Terdahulu, sebuah pasar raya di daerah ini sudah mengambil tindakan dengan menyimpan semula enam Jalur Gemilang bersaiz kecil terbalik pagi tadi.
Seorang pekerja pasar raya yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli berkata, pasar raya terbabit tidak menyedari menjual Jalur Gemilang terbalik sehingga tular di media sosial semalam.