Tiada rombakan Kabinet, tiada menteri baharu: PM

Iklan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) diiringi oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar hadir pada Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri Sesi 2 di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan akan berlaku rombakan dalam barisan Kabinetnya seperti didakwa.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada berbincang dengan barisan menterinya mengenai perubahan portfolio.

"Tiada rombakan Kabinet. Tiada menteri baharu. Saya cakap dengan Kabinet (barisan menteri) mungkin ada tukar sikit portfolio.

"Tapi belum ada lagi (rombakan). Itu pun saya belum buat dan belum lakukan, kalau nak buat saya beritahu,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pegawai-pegawai Kerajaan di Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus mengatakan akan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus mengatakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri bakal dibawa menyertai barisan Kabinetnya, Dr Mahathir bagaimanapun menafikan perkara itu.

"Tiada muka baharu yang akan dibawa masuk menyertai barisan Kabinet," katanya.

Terdahulu, dua akhbar berbahasa Cina hari ini melaporkan rombakan Kabinet akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Akhbar tersebut turut melaporkan, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri akan menyertai Kabinet.



ARTIKEL BERKAITAN:Rombakan Kabinet dalam waktu terdekat?

Iklan
Iklan