SHAH ALAM - Pelbagai cara orang lakukan untuk menyumbang dalam kerja-kerja kebajikan. Bagi pemilik Dobi D'Sidai cawangan Shah Alam, kelebihan yang ada dengan operasi dobi digunakan untuk membasuh pakaian seragam sekolah terpakai yang masih elok untuk diberikan semula kepada golongan yang memerlukan.
Hafiza Mohd Zaferi, 45, berkata, dia terpanggil untuk menarik sumbangan orang ramai dengan meminta masyarakat menyerahkan baju-baju sekolah yang tidak lagi mahu digunakan untuk dicuci di dobinya yang terletak di Alam Budiman di sini.
Menurutnya, sejak memuat naik status hasrat berkenaan pada Isnin lalu di Facebook, dia menerima kunjungan dari segenap pelusuk Lembah Klang termasuk beberapa kawasan dari luar yang datang membawa pakaian seragam sekolah yang mahu diinfakkan.
"Sudah lebih 500 pasang pakaian seragam sekolah yang telah dicuci dan berikan kepada mereka yang memerlukan. Sehingga kini pun saya masih menerima sumbangan pakaian untuk dicuci.
"Selain individu yang datang membawa pakaian untuk didermakan, terdapat juga individu yang datang untuk mengambil pakaian sekolah yang didermakan itu kerana tidak mampu.
"Operasi dobi masih berjalan seperti biasa, pakaian sekolah yang disumbangkan akan dicuci tanpa menjejaskan operasi dobi. Ada yang hantar dengan perkhidmatan Grab, ada yang baju masih baru tapi tidak dipakai, ada yang datang tukar saiz," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Hafiza, usaha itu akan diteruskan namun memberi tumpuan sempena pembukaan sekolah Januari depan.
"Untuk proses membasuh tiada masalah, kami cukup tenaga kerja..cuma untuk proses pengasingan sahaja memerlukan khidmat sukarelawan. Ia akan dibuat pada hujung minggu ini," katanya.