KUALA SELANGOR - Jabatan Perikanan Selangor menahan dua bot nelayan kerana melanggar syarat pelesenan di Perairan Tanjong Karang, di sini malam tadi.
Ketua Cawangan Pengurusan dan Perlindungan Sumbernya, Mohd Zaki Harun berkata, bot nelayan kelas B1 itu ditahan sepasukan empat peronda diketuai Ketua Penangkap, Hamzah Rahim di kedudukan tiga batu nautika kira-kira jam 10.40 malam.
Menurutnya, bot kelas C pula ditahan pasukan yang sama di kedudukan empat batu nautika perairan sama jam 11 malam.
"Semasa serbuan dilakukan ke atas bot B1 terdapat lima awak-awak termasuk tekong berusia 20 hingga 55 tahun berada di atas bot berkenaan.
"Manakala seramai 15 awak-awak termasuk tekong berusia 40 hingga 55 tahun berada dalam bot C," katanya pada sidang media di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor di sini hari ini.
Mohd Zaki berkata, pemeriksaan mendapati bot B1 dan C melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu masing-masing memukat ikan kurang dari lapan dan 15 batu nautika dari pantai.
"Bot B1 dan C ditahan bersama hasil tangkapan ikan kira-kira seberat 500 kilogram dan 12 metrik tan," katanya.
Beliau memberitahu, kedua-dua bot terbabit dibawa ke Jeti LKIM Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.
"Pihak kami akan meneruskan pemantauan secara berkala agar nelayan di negeri ini mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan," katanya.