SHAH ALAM - Pas menyokong cadangan Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) yang menggesa kerajaan untuk membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan jawi pada pembungkusan produk yang dihasilkan pengusaha bukan Islam.
Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna Pas Pusat, Siti Zailah Yusoff berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan walaupun tidak popular, malah menjumudkan inklusif dakwah, selain berisiko menambahkan lagi rencah perasaan perkauman tetapi ia dilihat mampu menangani banyak isu berkaitan.
"Realitinya tulisan jawi jelas disalah guna, dimanipulasi dan menjadi unsur pemerdayaan terhadap pengguna.
"Di mana kepada masyarakat bukan Islam, tulisan Jawi diperlekeh hina serta diadu domba, dimomok dan difitnah kononnya gerakan Islamisasi.
"Jika demikian buruk dan jahatnya tulisan jawi, maka amat tidak wajar ia dijadikan hanya untuk melariskan produk yang tak ubah seperti didagangkan atau dilacurkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, martabat tulisan jawi bagi umat Melayu-Islam amat tinggi tetapi bagi pihak yang mahu mencampak buangnya, menjadikan ia alat tarikan dan keuntungan.
"Ini tentulah tidak adil, malah cadangan seumpama juga sesuai diterapkan pada pelaksanaan papan tanda dan sebagainya yang lain. Ia tidak harus digunakan sewenang-wenangnya tanpa pengertian, apatah lagi jika sekadar mengaburi mata pengguna secara salah dan menipu.
"Ironinya, penggunaan logo halal Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) juga wajar dipinda yakni tidak menggunakan kaligrafi jawi bagi perusahaan, premis atau produk bukan dimiliki Muslim kerana ia memberi hak secara peribadi kepada pengguna untuk membuat pilihan alternatif yang luhur dan tanpa sebarang keraguan," katanya.
Beliau berkata, banyak kecurangan dalam perniagaan yang memperalatkan jawi mahupun logo halal masih berlaku, sedangkan penguatkuasaan pula tertakluk kepada aduan.
"Lebih penting dari itu juga, ini adalah pendekatan 'mendidik' mereka yang selama ini sombong dan angkuh merosakkan reputasi agama, umat dan segala bersangkutan dengan Islam.
"Moga ia jadi pengajaran dan mampu merasionalkan kembali tindakan emosi pihak terbabit," katanya.
Terdahulu, Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris mencadangkan untuk membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan jawi pada pembungkusan produk yang dihasilkan pengusaha bukan Islam kerana tulisan jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna dengan status halal sesuatu produk.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Jika tiada sijil halal, jangan salah guna tulisan jawi'