ALOR SETAR - Kerajaan negeri menyambut baik teknologi meningkatkan hasil padi yang dibangunkan di Kedah kerana ia bukan sahaja meningkatkan pendapatan petani, malah menyumbang kepada pengeluaran makanan dan tahap sara diri.
Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah, Tan Kok Yew berkata, inisiatif swasta itu antara usaha baik dalam memajukan sektor pertanian kerana ia antara sektor utama memacu ekonomi negara.
Menurutnya, sekiranya kelangsungan sumber padi merupakan antara aspek keselamatan negara, taraf hidup pesawah juga harus diberikan keutamaan.
"Kajian menunjukkan 90 peratus pengeluaran padi dihasilkan pesawah kumpulan B40. Untuk bantu tahap sosioekonomi petani luar bandar, kerajaan perkenalkan beberapa insentif seperti Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan kos pengeluaran, serta harga padi minima dan subsidi harga padi,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis pembukaan loji baru inovasi rawatan benih padi (Incotec) pertama di Kedah, hari ini.
Kok Yew berkata, insentif itu disemak dari semasa ke semasa bagi mengambil kira kos semasa pesawah, di mana harga padi minima terkini RM1,200/metrik tan manakala subsidi harga padi pada RM360.00/metrik tan.
"Pengeluaran hasil negara adalah 1,531,034 metrik tan dengan purata hasil padi 3.5 metrik tan per hektar bagi keluasan 436,054 hektar melibatkan kawasan jelapang dan luar jelapang.
"Pengeluaran padi kita masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara utama pengeluar padi,” katanya.
Menurutnya, keluasan tanaman di Kedah pula, sebanyak 107,910 hektar melibatkan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seluas 80,591 hektar dan luar MADA (26,598 hektar), dengan purata hasil 4.38 metrik tan per hektar.
"Kita perlu gunakan teknologi untuk tingkatkan hasil padi, kerana permintaan beras dijangka meningkat sehingga 2035. Menurut kajian Institut Penyelidikan Dasar Makanan dan Pertanian, permintaan dunia untuk beras dijangka meningkat 496 juta tan pada 2020, daripada 439 juta tan pada 2010,” katanya.
Kok Yew berkata, menjelang 2035, keperluan dijangka meningkat kepada 555 juta tan.
"Namun negara kita berdepan kekangan seperti tanah bendang semakin berkurang, di mana dalam tempoh 10 tahun, kita kehilangan 35,000 hektar tanah sawah yang ditukarkan kepada kegunaan lain,” katanya.
Menurutnya, purata keluasan tanah pesawah juga terhad kepada dua hektar dan tidak ekonomik bagi memberi pulangan pendapatan yang kukuh kepada pesawah.
Faktor lain termasuk, majoriti pesawah sudah berumur di mana lebih separuh daripada jumlah petani MADA berusia lebih 60 tahun.
"Malaysia adalah negara pengeluar padi berkos tinggi. Walaupun subsidi besar, beras tempatan tidak mampu bersaing dengan beras import dari Thailand dan Vietnam.
"Perbezaan harga menyebabkan berlakunya penyeludupan beras dalam pasaran negara,” katanya.
Kok Yew berkata, situasi diburukkan lagi dengan serangan penyakit disebabkan bakteria menyebabkan kerosakan ekonomi, mengurangkan berat hasil, kemandulan floret dan perencatan germinasi benih.
"Ia mengakibatkan kehilangan hasil antara 50-75 peratus, bergantung kepada faktor cuaca, peringkat serangan dan varieti. Bancian sehingga Jun 2019, luas ladang yang terlibat adalah 1,558.6 hektar dengan kehilangan hasil 10,130.9 metrik tan,” katanya.
Sementara, Pengarah Urusan Incotec, Erik Jan Bartels berkata, Incotec menyediakan produk dan perkhidmatan salutan benih, membentuk, penambahbaikan benih serta perkhidmatan analisa genetik dan pemeriksaan kualiti, di seluruh dunia.
"Di loji Incotec Kedah, benih padi dirawat dengan produk baru rawatan benih inovatif, PaddyRise yang menjadikan tumbesaran pokok lebih kuat dan berdaya tahan. Selain mesra alam, ia mengekang perosak dan penyakit,” katanya.
Menurutnya, hasil percubaan selama 10 musim penanaman padi menunjukkan peningkatan hasil sebanyak 24 peratus.