TAHUN ini, Mahkamah Kuala Lumpur menjadi saksi kepada pelbagai kes yang menjadi perhatian dan tumpuan umum.
Tidak cukup dengan kes-kes jenayah dan saman sivil membabitkan masyarakat umum pada setiap hari, Kompleks Mahkamah di Jalan Duta itu turut menjadi lokasi tumpuan apabila beberapa figura yang pernah memimpin negara diheret ke muka pengadilan atas dakwaan tertentu.
Sejak penghujung tahun lepas bermula Ogos 2018, banyak pendakwaan demi pendakwaan dilakukan selepas peralihan kuasa tumbangnya pemerintahan kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Harapan.
Bermula dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dituduh dengan kes penyelewengan dana SRC International dan salah guna kuasa syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut didakwa termasuk pembantu khasnya, Datuk Seri Rizal Mansor.
Tidak terlepas, kes melibatkan ahli politik dan juga bekas menteri termasuk bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; bekas Timba-lan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tuduhan ke atas bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang sentiasa mendapat liputan media.
Tanpa sedar, setiap kali hadirnya kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam, petugas-petugas media atau wartawan daripada agensi-agensi media tempatan dan antarabangsa merupakan antara manusia yang paling gigih menjalankan tugas.
Manakan tidak, sepanjang prosiding pendakwaan, sebutan, pengurusan kes, mahupun perbicaraan, tidak termasuk permohonan-permohonan lain melibatkan kes berkaitan, petugas media perlu komited memahami dan mengetahui apa yang berlaku untuk disampaikan kepada umum sebagai berita.
Setiap kali ada kes di Mahkamah Majistret, Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan waima di Mahkamah Persekutuan, wartawan perlu siap siaga dari awal pagi kes dan kadangkala perlu menunggu berjam-jam lamanya.
Apatah lagi apabila kes membabitkan individu penting, seawal jam 7 pagi, petugas media sudah terpacak di lobi mahkamah, beratur dan mengambil pas, dan adakalanya bergelut dengan para penyokong yang ramai dan malah perlu juga berebut memasuki kamar mahkamah.
Wartawan perlu menanti penuh sabar sambil bersedia dengan bahan dan ‘sejarah’ sesuatu kes perlu dibaca dan difahami terlebih dahulu sebelum apa yang berlaku hari ini diadun dan diproses supaya usaha menghasilkan berita lebih lancar, cepat dan tepat.Apatah lagi apabila sesuatu kes sudah memasuki peringkat perbicaraan, sudah tentu ia menuntut komitmen lebih tinggi apabila prosiding perbicaraan berlangsung sepanjang hari, dengan dokumen-dokumen dan keterangan saksi yang panjang yang perlu difahami sebelum diberitakan.
Habis prosiding perbicaraan, hakim, peguam, pendakwa raya, dan staf mahkamah boleh pulang tapi tidak bagi wartawan mahkamah yang perlu ‘mengetuk’ bahan menyebabkan mereka hanya tiba di rumah apabila gelap malam.
Hari ini kes penyelewengan dana SRC International yang dihadapi Najib sudah memasuki peringkat akhir pendakwaan selepas 56 hari perbicaraan dengan saksi akhir sedang dalam proses soal balas.
Dalam tempoh tertentu, mahkamah akan membuat keputusannya, sama ada terdapat prima facie terhadap kes untuk Najib membela diri, atau Ahli Parlimen Pekan itu akan dilepaskan, semuanya terserah kepada penilaian maksimum yang arif hakim selepas mendengar keterangan saksi-saksi.
Bagi kebanyakan masyarakat Malaysia, apa yang dibicarakan dan keterangan saksi-saksi tidaklah begitu penting sebaliknya mereka tidak sabar untuk mengetahui keputusannya.
Bagaimanapun, kemuncak keputusan kepada kes-kes itulah yang akan menjadi perdebatan hangat masyarakat Malaysia yang bukan sahaja akan dibahaskan secara sembang bertentang mata tetapi ia juga akan dipolemikkan dalam kalangan netizen.Namun, perlu diingatkan apabila dimuktamadkan nanti, jangan pula dipertikaikan keputusan mahkamah. Ibarat kata pepatah, ‘rumah siap pahat masih berbunyi’.
Tiada yang dapat dipertikaikan, sebaliknya kita sebagai anggota masyarakat wajar menjadikan ini sebagai pengajaran dan ia akan menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.
*Siti Azielah Wahi ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional