Jangan jadi batu api isu perkauman

Iklan

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu menjadi lebih matang dalam usaha memupuk perpaduan negara dan mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini.

Tokoh bahasa dan budaya, Prof Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, rakyat perlu jauhi sikap suka mengapi-api kerana ia hanya akan merosakkan perpaduan.

Iklan
Iklan

"Saya bimbang akan wujud ketidakfahaman kaum di negara ini apabila ada pihak bersikap mengapi-apikan keadaan.

"Jika kita lihat, semakin ramai orang yang melompat-lompat untuk mempertahankan benang yang basah. Mereka mahu menunjukkan kebijaksanaan masing-masing dengan kenyataan yang tidak sepatutnya,” katanya di sini semalam.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas kerisauan wujudnya situasi tidak tenteram antara kaum di negara ini.

Nik Safiah berkata, adalah lebih baik warganegara Malaysia tidak mewujudkan pemikiran yang boleh mengganggu-gugat keamanan negara.

Iklan

Menurutnya, orang lama atau individu yang mempunyai kedudukan tinggi dan berpengaruh khasnya tidak sepatutnya mencetuskan kebimbangan rakyat.

"Berfikirlah dalam konteks negara, bukan hanya berfikir untuk konteks kemenangan puak sendiri,” katanya.

Nik Safiah dan Mohd Rosli

Nik Safiah turut melahirkan perasaan sedih dan kecewa apabila sentimen perkauman dimainkan ketika bulan kemerdekaan negara yang disambut pada Ogos setiap tahun.

"Pada saat kita mengharapkan kecintaan dan perpaduan rakyat pada bulan merdeka ini, ada pihak yang mengapi-apikan keadaan.

"Kita perlu melenyapkan situasi yang mengeruhkan keadaan ini. Rakyat masih berfikir atas dasar perkauman, bukan berfikir sebagai warganegara yang merdeka,” katanya.

Beliau berkata, tugas besar menanti rakyat Malaysia kerana negara masih belum mencapai tahap perpaduan yang memuaskan.

"Negara kita menuju ke arah perpaduan tetapi dikacau oleh beberapa faktor yang mengganggu proses itu.

"Jadi, kita perlu mendoakan kesejahteraan negara agar perpaduan yang kita pelihara selama ini terus kekal dan utuh,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin berkata, soal perpaduan kaum perlu menjadi agenda utama negara.

"Rakyat diajar untuk beradab, berbudi dan juga sopan. Jika ini berjaya diamalkan kita akan menjadi negara contoh dan hebat dari segenap sudut.

"Apa yang penting, semua rakyat harus bersatu untuk membina Malaysia sebagai negara maju,” katanya.

Menurutnya, semua pihak perlu hormat budaya semua kaum dan budaya pribumi yang menjadi tonggak asas dalam kebudayaan kebangsaan.

"Orang Melayu cuba bangkit menyatakan haknya yang ada dalam perlembagaan negara. Namun begitu, persoalan pokok yang harus kita fikirkan ialah bagaimana untuk kita memperkasakan lagi soal perpaduan kaum.

"Semua kaum telah hidup aman dalam negara ini dan kita harus gerakkan segala jentera, bidang dan cabang agar setiap warga kita boleh berinteraksi setiap masa dan saling faham-memahami,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu ketepikan prejudis dan prasangka kerana perpaduan yang negara miliki kini telah kuat sejak zaman Kesultanan Melaka lagi.

Perbincangan lanjut berhubung isu kaum dan keselamatan ini juga akan didebatkan dalam Program Bicara Minda bersama Tan Sri Musa Hassan pada hari ini, jam 3 petang di Dewan Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.