Jalur Gemilang berkibar di puncak tertinggi Sumatera

Iklan
Penulis (kiri) bersama pendaki negara mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi Sumatera.

SEKUMPULAN penggiat sukan rekreasi gunung dari ibu negara mempamerkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi Sumatera, Indonesia.

Kumpulan terdiri daripada lima pendaki itu berjaya menawan Gunung Kerinci di Jambi untuk mengibarkan bendera Kebangsaan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini.

Iklan
Iklan

Ketua kumpulan tersebut, Alfariz Mohd Mustafa berkata, ekspedisi ke gunung itu bertujuan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak tertinggi Sumatera sebagai simbolik perjuangan generasi terdahulu yang berusaha gigih demi mencapai kemerdekaan.

"Gunung Kerinci ialah gunung berapi tertinggi di Indonesia yang masih aktif dan mempunyai tahap kesukaran tinggi untuk ditawan. Kali terakhir Gunung Kerinci meletus direkodkan pada 29 September 2018.

Iklan

"Jarak pendakian yang panjang, bentuk muka bumi curam, suhu persekitaran sejuk serta cuaca hujan antara cabaran dihadapi dalam misi mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Kerinci," katanya.

Selepas mengharungi 5 jam pendakian, kumpulan pendaki Malaysia berjaya menjejakkan kaki di puncak tertinggi Sumatera pada ketinggian 3,805 meter dari aras laut itu sekali gus mengibarkan Jalur Gemilang.

Iklan

"Kami hanya ingin menyemarakkan rasa cinta terhadap negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang seperti ini.

"Sesungguhnya Jalur Gemilang harus dihormati dan dipandang tinggi setiap warganegara kerana itulah panji yang melambangkan kedaulatan dan simbol kemerdekaan negara kita," katanya.

Seorang lagi ahli ekspedisi, Errni Nadia Zainal berkata, semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Kerinci menjadi dorongan kepadanya untuk meneruskan misi meskipun berdepan kesukaran.

"Menawan Gunung Kerinci bukanlah mudah, ia memerlukan kekuatan mental, fizikal yang mantap dan paling penting semangat kerjasama dalam pasukan bagi merealisasikan impian ini," katanya.

Kumpulan tersebut mengambil masa selama dua hari untuk menjayakan ekspedisi itu dan hari pertama menyaksikan pendakian selama tujuh jam di dalam hutan tebal Taman Nasional Kerinci Seblat.

Hari kedua ekspedisi dimulakan seawal jam 3.00 pagi dari Kem 2 menuju ke puncak dengan darjah kecuraman semakin meningkat dan laluan berbatuan sepenuhnya.

Dalam keadaan sejuk, oksigen semakin menipis serta cabaran fizikal yang menyeksakan boleh membuatkan mana-mana pendaki berputus asa untuk sampai ke puncak.

Selain Alfariz dan Errni Nadia, ekspedisi itu turut disertai Hamizah Farhana Hussein, Muhammad Afiq Ahmad Azmi dan Bob Faizeli Mohamed Din.

*Penulis ialah Perunding Aktiviti Luar