PASIR PUTEH - Seramai 280 pembeli rumah di Jeram Pasu di sini kecewa dengan sikap pemaju yang gagal menyiapkan dan menyelesaikan masalah pemilikan sehingga ke hari ini.
Sebanyak 280 unit rumah banglo dan teres yang dibeli terbiar walaupun kebanyakan pembeli menanggung pembiayaan menerusi pemotongan gaji sejak 10 tahun lalu.
Pembeli, Mastuah Mohd Ramli, 39, berkata, gajinya dipotong RM650 sebulan untuk rumah banglo yang dibelinya sejak 2009.
Katanya, dia kecewa kerana sudah membayar hampir 80 peratus namun masih gagal menduduki rumah tersebut.
"Kalu nak ikut syarat, gaji dipotong apabila rumah siap, saya tak tahu di mana silapnya dan berharap kerajaan campur tangan bagi menyelesaikan masalah ini.
"Sekarang saya menyewa rumah RM600 sebulan," yang masih berkhidmat sebagai angkatan tentera.
Menurutnya, dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan lain untuk menyiapkan rumah itu jika pemaju dapat menyelesaikan permohonan mendudukinya.
"Rumah tak lulus, kita tak dapat memohon bekalan elektrik dan air, ini masalahnya," katanya.
Seorang lagi pembeli, Salahuddin Ahmad, 46, berkata, dia yang merupakan pesara tentera mengalami nasib sama.
Katanya, pembiayaan kini diambil dari wang pencennya sebanyak RM616 sebulan.
"Saya terpaksa menyewa rumah, nak beli rumah lain tak boleh sebab sudah beli rumah walaupun terbengkalai dan nak mohon rumah kerajaan juga tak dapat kerana berpencen.
"Saya harap kerajaan dapat membantu kumpulan pembeli yang teraniaya ini dan berharap pihak berkenaan menyiasat kemungkinan wujud penyelewengan dan salah guna kuasa dalam projek ini," katanya.