MARANG - Pas menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membenarkan Dr Zakir Naik untuk terus berada di negara ini adalah keputusan bijak dan tepat.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan pemimpin negara itu dibuat berdasarkan kepada hujah dan bukannya berpandukan kepada sentimen politik.
Ahli Parlimen Marang itu turut memberi jaminan bahawa parti itu akan terus mempertahankan Dr Zakir di samping menyeru rakyat di negara ini menghormati keilmuan pendakwah itu.
"Suasana polemik yang dicetuskan oleh parti politik dan media contohnya DAP dan (menyebut sebuah portal) yang memainkan isu ini untuk menghangatkan (suasana).
"Disebabkan ini isu akademik, isu dakwah, maka ia perlu ditangani secara akademik, secara demokratik, bukan dialog politik. Kalau ada kepentingan politik, itu yang perlu dinasihatkan.
"Dengan sebab itu, kita anggap Dr Zakir perlu dipertahankan, perlu dihormati keilmuan dia dan hormat secara ilmu. Secara ilmunya, kena berdialoglah bukan hantar balik. Barulah kata orang bijak," katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar di kediamannya selepas selesai menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini hari ini.
Semalam, Dr Mahathir mengulangi pendirian bahawa Dr Zakir tidak akan dihantar pulang ke India manakala pada awal bulan lalu, beliau dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan menghantar pulang penceramah bebas itu sekiranya tidak membuat sebarang masalah.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berkata, parti itu juga bersedia menganjurkan himpunan mempertahankan Dr Zakir jika ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan himpunan bantahan.
"Pas boleh buat (himpunan) tetapi kita mengambil pendekatan damai dahulu. Selain itu, kita juga minta kerajaan siasat siapa yang (mula) menimbulkan polemik politik ini.
"Isu Dr Zakir tidak menguntungkan Pas, kalau dari segi politiknya yang berlaku dalam ceramah di Kota Bharu, Kelantan, Dr Zakir memuji Perdana Menteri sedangkan Dr Mahathir bukannya daripada parti kita tetapi Pakatan Harapan (PH)," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi juga tidak menolak kemungkinan Dr Zakir merupakan mangsa persepsi segelintir ahli politik ekstrem yang bimbang melihat orang Melayu dan Islam di negara ini bersatu.