Penumpang penuhi KLIA tunggu status penerbangan

Iklan
Keadaan semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) sedikit sesak susulan gangguan sistem yang dialami.- FOTO ZAHID IZZANI

SEPANG - Ruang pelepasan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat dipenuhi ribuan penumpang yang menanti pengumuman terkini mengenai status penerbangan masing-masing yang mengalami kelewatan ekoran gangguan sistem di lapangan terbang itu.

Gangguan sistem yang melanda KLIA dan klia2 sejak Rabu malam telah menjejaskan sistem utama lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

Iklan
Iklan

Fatin Afiqah Zaimi, 25, bersama seorang rakannya sepatutnya menaiki penerbangan ke Manila pada pukul 8 pagi hari ini untuk bercuti tetapi dimaklumkan penerbangan ditangguhkan ke pukul 10 pagi, namun selepas pukul 10 pagi pun, masih tiada perkembangan mengenai waktu pelepasannya.

"Saya dapat tahu ada masalah di KLIA sejak semalam tapi saya berharap masalah dapat selesai awal pagi ni.

Iklan

"Tapi nampaknya masih tak selesai dan saya sudah ada di sini sejak pukul 5 pagi tadi dan rasa kecewalah juga sebab terpaksa menunggu lama," kata pekerja swasta di Balakong, Selangor.

Pengurus syarikat di Banting, Aiman Amran, 29, berkata percutiannya ke Bandung bersama 20 ahli keluarga dan rakan-rakan, terganggu berikutan masalah berkaitan penerbangan itu.

Iklan

"Penerbangan kami sepatutnya pukul 12.05 tengah hari tetapi ditangguhkan ke pukul 4.15 petang dan ini menyebabkan ada beberapa program yang telah dirancang tidak dapat dilakukan," katanya yang tiba di KLIA sejak pukul 8 pagi.

Berikutan masalah gangguan sistem itu, pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menasihatkan para penumpang supaya berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu pesawat mereka berlepas.

Setakat 10 malam Khamis, 68 kelewatan penerbangan dilaporkan.

Malaysia Airports telah mengembleng kira-kira 1,000 kakitangannya untuk memberikan bantuan yang diperlukan penumpang dan juga syarikat penerbangan.

Sementara itu, Malaysia Airlines dalam laman Facebook syarikat menjelaskan gangguan sistem lapangan terbang di KLIA terus memberi kesan kepada semua proses daftar masuk dan menaiki pesawat serta bagasi.

"Susulan gangguan itu, Malaysia Airlines terpaksa memproses semua transaksi penerbangan secara manual. Oleh itu penumpang diminta supaya mendaftar masuk melalui telefon mudah alih atau laman web bagi meminimumkan masa giliran dan untuk tiba di lapangan terbang empat jam sebelum masa pelepasan pesawat mereka," maklumnya.

Syarikat penerbangan nasional itu menjelaskan bahawa lebih 100 sukarela di bawah program MH Rangers membantu petugas lapangan terbang mengendalikan proses daftar masuk serta membantu penumpang di lapangan terbang.- Bernama